Kerajaan sedang meneliti untuk memulakan rundingan dengan syarikat konsesi lebuh raya tertentu mengenai nilai pengambilalihan konsesi yang berkenaan.
Laporan The Edge hari ini memetik sumber-sumber yang tidak dinamakan, mendakwa cadangan ini akan melibatkan kerajaan mengambil alih lebuh raya untuk kegunaan awam. Bagaimanapun tidak jelas sama ada pampasan akan diberikan atau tidak kepada pemilik sedia ada.
“Secara global, pengambilalihan aset oleh kerajaan sering memberi kesan negatif terhadap pasaran modal,” kata laporan itu.
The Edge memetik seorang penganalisis yang tidak dinamakan mengulas usaha kerajaan yang mengkaji untuk menamatkan perjanjian konsesi lebuh raya tanpa perlu membayar pampasan ganti rugi besar.
Walau bagaimanapun, laporan itu menyatakan butiran mengenai cadangan berkenaan masih tidak jelas dan belum dapat diteliti persoalan mengenai cara bagaimana rancangan kerajaan melaksanakan pengambilalihan tersebut serta apakah kesannya kepada para pemegang saham dan pemegang bon konsesi lebuh raya.
Pihak yang terlibat termasuk syarikat berkaitan kerajaan, seperti Plus Malaysia Bhd yang dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd melalui unit milik penuhnya, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata laporan itu lagi.
Memandangkan sejak pembinaan lebuh raya sebahagian besarnya dibiayai melalui hutang, maka pelabur institusi juga mungkin terjejas.
Laporan itu memetik RAM Ratings yang mengatakan 23 pengendali jalan tol telah mengeluarkan kertas hutang berjumlah RM52.83 bilion dalam bentuk bon serta sukuk pada Mei tahun lepas dan ini tidak termasuk stok pinjamannya (sekuriti yang dikeluarkan oleh sesebuah syarikat untuk pinjaman pelaburan).
“Bon ini sebahagian besarnya dipegang oleh pelabur institusi tempatan dan dana pencen yang berkaitan dengan kerajaan.
“Masih belum dapat dilihat lagi bagaimana kerajaan merancang untuk mengambil alih konsesi sedia ada kerana pembinaan kebanyakan lebuh raya sebahagian besar dibiayai oleh hutang serta jadual pembayaran balik dan kupon bagi bon ini biasanya berstruktur untuk menyesuaikan aliran tunai daripada hasil kutipan tol,” katanya
Pemansuhan lebuh raya bertol secara berperingkat merupakan salah satu janji pilihan raya PH ketika PRU14.
Pada 23 Februari lalu, kerajaan mengumumkan sedang memulakan rundingan dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya dan sebagai ganti tol memperkenalkan caj kesesakan semasa waktu puncak.
Gamuda berkata cadangan ini akan dilakukan mengikut norma dan amalan penilaian pasaran.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata cadangan kerajaan untuk mengambil alih lebih banyak konsesi tol akan siap dalam masa dua hingga tiga bulan lagi dan ini dijangka bakal menjadi lebih rumit berbanding rundingan dengan Gamuda.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah memberi amaran bahawa rakyat akhirnya terpaksa membayar walaupun kerajaan berjaya melaksanakan janji untuk menghapuskan tol.
“Tetapi rakyat mesti faham, walaupun mereka tidak bayar tol, kerajaan tetap kena bayar tol dan kerajaan bayar tol daripada duit yang dikutip dari rakyat, akhirnya rakyat membayar (tol) melalui kerajaan.
“Kerajaan perlu beli lebuhraya melalui duit cukai yang dikutip daripada rakyat dan daripada itu jalan juga mesti diperbaiki sepanjang masa dan ia juga memerlukan perbelanjaan daripada kerajaan, tidak lagi oleh syarikat.
“Dan ini juga bermakna sebahagian cukai yang dikutip mestilah diguna untuk menyelenggara jalan.
“Ini bermakna kerajaan akan kekurangan wang untuk projek-projek lain yang diperlukan,” katanya pada 25 Februari lalu. – mkini