Beberapa pengguna mengemukakan bukti kepada Putrajaya bahawa ada peruncit dan pembekal barangan mengeksploitasi perubahan sistem cukai tahun lepas dengan memainkan harga barangan menyebabkan berlakunya kenaikan kos sara hidup.
Bukti itu dikumpul hasil kajian dijalankan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).
Kajian MTEM mendedahkan pembekal dan peruncit menaikkan harga bagi 30 barangan makanan popular menjelang cuti percukaian pada Jun hingga September tahun lepas, tempoh di mana negara beralih dari Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Ahmad Yazid Othman berkata, harga barangan itu dicatatkan pada Mei sebelum GST dimansuhkan berbanding dengan harga semasa pemansuhan cukai tiga bulan dan harga selepas SST berkuat kuasa.
Yazid berkata, harga mulai naik pada Mei tidak lama selepas kerajaan baharu mengumumkan cuti percukaian itu sebelum menurunkan semula harga antara Jun dan September.
Sebagai contoh barangan berharga RM100 pada April dinaikkan sehingga RM105 pada Mei.
Pada Jun harga akan turun semula kepada RM100 seperti yang dijual pada April.
“Pengguna rasa barangan itu jatuh lebih murah tetapi hakikatnya harga itu tidak jatuh tetapi hanya kembali kepada harga asal,” katanya.
MTEM berkongsi hasil kajiannya terhadap 100 harga barang dalam tempoh itu kepada kerajaan.
“Kerajaan juga mengesan trend ini ketika kajian mereka. Jadi sekarang kita akan bandingkan hasil kajian dan lihat sama ada tindakan boleh diambil,” katanya.
Sementara itu, Fomca kini sedang bekerjasama dengan kerajaan untuk mengenal pasti kesepakatan di antara pembekal dan peruncit untuk menetapkan harga barangan tertentu.
“Harus ada campur tangan pihak kerajaan untuk bertindak dalam amalan kolusi dan monopoli bagi menetapkan harga barang,” kata Setiausaha Agung Fomca Paul Selvaraj.
Menurutnya, sebagai contoh sistem AP (Lesen Import) perlu dikaji semula bagi membolehkan lebih banyak persaingan antara pengimport dan mempelbagaikan jumlah barang ke pasaran yang boleh menurunkan harga. – TMI