Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir hari ini menyuarakan keraguannya berhubung keikhlasan kerjasama Umno-PAS yang dikatakan bertujuan untuk penyatuan ummah.
Ini kerana kata Menteri Besar Kedah itu Bersatu pernah menghulurkan “tangan persahabatan” kepada PAS juga atas niat sama namun ditolak.
“Tetapi sekarang pihak yang mungkar (Umno) itu menjadi pilihan mereka untuk bergabung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Kebangsaan Iskandar, di Alor Setar hari ini.
Sehubungan itu katanya, timbul andaian kerjasama tersebut hanya demi kepentingan politik parti masing-masing yang pastinya tidak sihat bagi landskap politik negara.
Beliau mengulas mengenai pengumuman rasmi mengenai kerjasama di antara Umno-PAS yang bertujuan untuk penyatuan ummah.
Mukhriz juga menjangkakan kerjasama itu tidak dapat bertahan lama kerana dibina atas dasar yang tidak kukuh mahupun kukuh selain PAS juga sebelum ini pernah memungkiri janji yang dibuatnya.
“Saya dulu diberi mandat mengepalai Bersatu untuk berunding dengan PAS yang ketika itu diketuai Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man dan selepas lima, enam kali rundingan akhirnya persepakatan dicapai.
“Namun selepas perbincangan dibuat secara teliti dan perjanjian telah ditandatangani pada waktu petang, pada sebelah malam perjanjian tersebut ditarik balik, jadi mengikut pengalaman peribadi saya PAS ini boleh berjanji tapi tidak mampu tunaikan,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan bahawa kerjasama Umno-PAS akan memberi kesan kepada senario politik di Kedah, Mukhriz berkata pihaknya akan terus berusaha meyakinkan rakyat bahawa Pakatan Harapan (PH) serius dalam membela kaum Melayu serta lain-lain kaum. – mkini