Kedudukan hutang yang ditanggung negara sekarang perlu dijelaskan dengan bahasa yang mudah difahami, terutama dalam kalangan orang kampung, kata Anggota Parlimen Jeli Mustapa Mohamed.
Katanya antara aspek yang perlu ditekankan ialah jumlah sebenar serta definisi mengenainya.
Setakat ini kata bekas menteri kanan itu penjelasan dibuat kerajaan PH belum ada kepastian yang difahami oleh orang bawahan dan pada masa sama ia menjadi tumpuan perbahasan setiap kali Dewan Rakyat bersidang.
“Penjelasan perlu diberikan menggunakan bahasa yang mudah difahami orang kampung dan komunikasi difahami semua pihak serta jangan tinggi bahasanya.
“Semua rakyat negara ini perlu faham kenapa kerajaan tidak mampu menyediakan peruntukan secukupnya.
“Jangan biarkan rakyat membuat andaian dan tuduhan yang melulu,” katanya dipetik BH Online semasa membahaskan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini semalam.
Beliau yang kini menjadi anggota Bersatu menambah naratif baru untuk menjelaskan hala tuju perpaduan negara perlu dikemukakan.
Kata pada tahun ini suasana politik tidak menentu dengan ada ketikanya menjadi panas.
“Sudah sampai masa perkara ini diselesaikan dengan cara yang baik,” katanya. – mkini