Tembakan rambang oleh pengganas Brendon Breivick Tarrant yang berfahaman “far-rightwing extremists” ke atas jemaah masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu tidak mustahil boleh berlaku di mana-mana negara berbilang kaum.
Seorang penganalisis ekonomi, Jameson Tan berkata, merujuk situasi di Malaysia, parti-parti pembangkang khususnya Umno dan Pas tidak wajar meneruskan agenda politik perkauman dan agama sempit mereka terutama dalam ceramah-ceramah kempen pilihan raya kecil (PRK) demi meraih kemenangan.
Menurutnya, sikap perkauman dan taksub agama sekiranya diapi-apikan boleh menyebabkan seseorang bertidak di luar batasan
“Tindakan pemimpin dari pihak pembangkang yang seringkali mempercilkan masyarakat Cina dan India misalnya berpotensi menanam perasaan kebencian terhadap kedua-dua etnik itu dalam kalangan orang Melayu.
“Ini amat merbahaya kerana bukanlah sukar untuk perselisihan kaum berlaku di Malaysia dan justeru itu akan timbul pula masalah atau kejadian yang tidak diingini.
“Sehingga kini, adalah amat mengecewakan bahawa tiada tindakan serius diambil terhadap pemimpin-pemimpin dari parti-parti politik yang gemar memainkan isu-isu perkauman,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Jameson juga tidak senang dengan pendekatan politik Pakatan Harapan (PH) yang kian berubah selepas kalah PRK Cameron Highlands dan Semenyih dan mula menumpukan kepada agenda kaum Melayu berbanding janji pilihan raya umum lalu akan membantu semua kaum.
“Saya juga perhatikan pemimpin PH telah mula terikut-ikut rentak pihak lawan. Walaupun saya tahu majoriti orang Melayu mengundi Umno dan hanya segelintir yang mengundi PH, di antara 8% hingga 40% bergantung kepada kawasan.
“Namun apa yang mungkin berlaku sekiranya kecenderungan PH memberi fokus kepada ‘agenda Melayu’ semata-mata, pakatan itu akan gagal meraih sokongan majoriti Melayu dan pada masa yang sama hilang sokongan dari masyarakat Cina dan India.
“Kalau perkara ini berlaku, kebarangkalian PH akan kalah dalam Pilihanraya Umum Ke15 (PRU15) adalah besar,” katanya
Beliau menegaskan Kerajaan PH patut menekankan ‘agenda Malaysia’ ataupun ‘agenda rakyat’ untuk berlaku adil kepada semua tetapi pada masa yang sama ‘agenda Melayu’ boleh diberi tumpuan yang lebih.
“Saya berpendapat semua orang yang miskin wajar diberi bantuan tanpa mengira kaum atau agama. Inilah negara demokrasi yang sihat dan landasan yang betul untuk Malaysia Baru,” tambahnya.