Media cetak dan penyiaran di Malaysia kini lebih bebas di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) berbanding kerajaan sebelum ini, kata laporan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) mengenai hak asasi manusia untuk tahun lalu.
Laporan itu menyatakan pentadbiran PH masih dapat mengawal media tetapi tidak menggunakan kuasanya seperti Barisan Nasional (BN) dahulu.
Laporan itu berkata selain mengawal kandungan berita dengan mengharamkan atau menyekat penerbitan yang dikatakan boleh mengancam keselamatan awam, kerajaan BN juga mendakwa wartawan atas “berita berniat jahat” tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan terhadap wartawan.
Laporan itu menyebut syarat permit kerajaan untuk menerbitkan dan mencetak serta peraturan penyiaran menjadikan media cetak dan penyiaran berat sebelah dan disekat.
“Dasar itu serta undang-undang anti fitnah menyekat kewartawanan yang bebas atau penyiasatan, menyebabkan penapisan kendiri yang berleluasa pada media cetak dan penyiaran,” katanya.
Laporan itu juga menyebut bagaimana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengarahkan syarikat pembekal Internet menyekat akses kepada media bebas yang menyiarkan keputusan tidak rasmi pilihan raya umum pada malam 9 Mei tahun lalu.
Ia juga menyebut senarai 1,653 penerbitan yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri setakat Mac 2017, serta pengharaman enam buah buku pada April tahun lalu selepas kandungannya dikatakan mengancam ketenteraman awam, memudaratkan moral dan kepentingan awam.
Kerajaan BN pernah menyekat akses ke atas Sarawak Report yang kritikal mendedahkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Selepas PH menang pilihan raya, sekatan itu dibatalkan.
Laporan itu bagaimanapun turut menyentuh sekatan yang dikenakan oleh kerajaan bertujuan menjaga keharmonian antara kaum dan agama.
Ia juga menyentuh sekatan kebebasan akademik, terutamanya “pandangan politik yang bertentangan”.
Selain itu, ia menyentuh sekatan dan tapisan filem termasuk yang berunsur lucah, serta filem bertema lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Laporan itu menyebut keputusan Lembaga Penapisan Filem mengharamkan filem Hindi bertajuk Padmaavat yang mengisahkan percintaan antara penganut Hindu dan Islam.
Ia juga menyebut pengharaman filem Filipina “Those Long Haired Nights” mengenai pelacur transgender. – TMI