Presiden Amanah Mohamad Sabu mahu semua ahli parti bekerja keras memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Beliau yang juga menteri pertahanan berkata meskipun PH kalah di PRK Cameron Highlands dan Semenyih, namun yakin mampu mencipta kemenangan di Rantau.
“Ada yang berkata elok kalau di Rantau kita letak calon Melayu macam di Cameron Highlands letak Melayu Orang Asli boleh menang, Semenyih calon Melayu tetapi kita nak beritahu kita tidak akan terperangkap dengan perkauman.
“Kita setia kepada semangat kerjasama antara kaum dan kalah atau menang, kita tak mahu terperangkap dengan sentimen perkauman,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Amanah bagi PRK Rantau di Rembau, malam tadi.
Turut hadir Naib Presiden Amanah Dr Hasan Bahrom, Pengarah Pilihan Raya Amanah Dr Mohd Hatta Md Ramli, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar, Naib Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Mustafa Ab Kadir, Pengerusi Amanah Melaka Adly Zahari dan Dr Streram.
Sementara itu, Mohamad berkata ahli Amanah bertanggungjawab sekiranya Dr Streram kalah.
“Calon kita seorang tokoh yang berjasa besar kepada semua kaum dan tugas kita adalah memenangkan calon…menang Dr Streram, menanglah PH,” katanya.
PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu menolak petisyen difailkan Mohamad Hasan yang juga timbalan presiden Umno untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November tahun lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.
Susulan itu SPR mengumumkan PRK Rantau diadakan pada 13 April depan, hari penamaan calon 30 Mac ini manakala tarikh mengundi awal 9 April. – TMI