Isyarat positif ekonomi Malaysia baru-baru ini tidak bermakna negara sudah keluar daripada bahaya, kata pakar ekonomi, sambil menambah kebimbangan terhadap kestabilan politik dan ekonomi global melegakan pelabur dan pengguna.
Walaupun Putrajaya mengumumkan pelaburan langsung asing (FDI) hampir dua kali ganda pada 2018 berbanding tahun sebelumnya, penganalisis seperti Dr Lim Teck Ghee berkata petunjuk lain seperti pasaran saham Malaysia memberitahu perkara berbeza.
Pasaran saham Malaysia turun 200 mata sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu dan ia antara paling teruk di rantau ini setakat tahun ini, kata Lim daripada Pusat Inisiatif Polisi.
Pakar lain, Ramon Navaratnam, mendakwa retorik perkauman terhadap kerajaan, yang dimainkan sejak selepas PRU14, boleh mempengaruhi pelabur kerana ia mencetuskan pelbagai keganasan politik.
“Politik mempengaruhi ekonomi. Terdapat mesej teks tular yang mengancam menyakiti Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) jika beliau pergi ke Rantau,” kata Navaratnam merujuk pilihan raya kecil bulan depan di Negeri Sembilan.
“Polis tidak melakukan apa-apa mengenai perkara ini. Jika anda pelabur asing dan menyaksikan perkara ini, adakah anda akan meletakkan wang di negara ini? Anda boleh mengatakan berminat tetapi akan menangguhkannya untuk melihat sama ada keadaan itu bertambah baik,” kata Ramon, bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan.
Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bergelut dengan persepsi mengenai ekonomi sejak kemenangan bersejarah pada PRU14.
Kritikannya menakutkan pelabur dengan isu hutang trilion ringgit negara dan kajian semula beberapa projek mega seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Bekelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Beberapa bulan selepas kemenangan itu, dana asing mula mengalir keluar daripada pasaran saham tempatan sebanyak RM11.1 bilion pada Disember tahun lepas.
Bagaimanapun, pentadbiran PH terperangkap dalam naratifnya yang ingin jujur mengenai kewangan negara dan mengkaji semula projek dengan nilai meragukan yang tidak mampu ditanggung kerajaan seperti ECRL, HSR dan saluran paip gas Sabah. – TMI