Inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) bagi membincangkan isu-isu ekonomi kepenggunaan amat dialu-alukan.
Hal ini kerana selepas 10 bulan PH memerintah ketidakpuasan hati rakyat semakin menjadi-jadi dan dijangka akan menjadi kuasa penolak yang hebat sekiranya tidak dibendung.
Buktinya, tinjauan rambang Suara Pakatan Daily ke atas orang ramai sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati 35 daripada 50 orang meluahkan perasaan kecewa terhadap prestasi PH.
Antara isu paling banyak mendapat rungutan ialah harga barang melambung naik selepas perlaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan; kes mahkamah ke atas tertuduh 1MDB belum bermula; menteri kabinet lembab serta banyak janji-janji manifesto belum ditunaikan.
Mengulas situasi itu, Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai berkata, kerajaan PH perlu menangani persepsi rakyat dengan lebih bijak. Menurutnya, hingga kini PH tidak bersungguh-sungguh mengetengahkan tempoh sesuai untuk melaksanakan semua janji. Rakyat pula tidak mahu mendengar alasan ekonomi Malaysia perlu dibaik-pulih terlebih dahulu.
“Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat merasa tidak puas hati dengan pentadbiran PH tetapi tidak dapat dinafikan juga bahawa negara Malaysia dibebani dengan jumlah hutang yang amat tinggi (RM1 trilion) diwarisi dari mantan Kerajaan BN.
“Oleh sebab itu, Kerajaan PH memerlukan masa untuk membantu rakyat. Selepas bulan Jun ini, Kerajaan akan melaksanakan program membantu isi rumah B40 yang hanya memiliki sebuah kereta di bawah 1,500 c.c. di mana pemilik kenderaan akan diberi rebat ketika membeli minyak RON95.
“Penurunan harga barang pula akan mengambil masa kerana ekonomi serata dunia sedang mengalami penurunan. Justeru, bukan sahaja Malaysia yang terlibat.
“Kerajaan PH turut berusaha mencelikkan minda kerajaan negara-negara Eropah mengenai isu minyak sawit kerana mereka telah berhenti mengimportnya.
“Pada masa ini juga, kita sedang berunding dengan negara China perihal projek ECRL (Landasan Keretapi Pantai Timur) kerana kita hanya boleh meneruskan projek ini kalau kosnya diturunkan. Banyak cabaran yang sedang dihadapi oleh PH sekarang akibat dari skandal 1MDB yang telah menghakis kantung negara dan hampir memufliskan Malaysia,” katanya.
Chan menegaskan walaupun Malaysia mengalami tekanan ekonomi dan kewangan, Kerajaan akan membantu rakyat dengan sedaya-upaya.