Bekas menteri Rafidah Aziz menasihatkan agar rakyat tidak mudah tertipu dengan pihak yang suka menunjukkan imej suci kerana golongan itu juga tidak terlepas dari perbuatan mungkar.
Beliau menggelarkan golongan itu sebagai ‘kleptokrat berserban’ kerana menurutnya suka menunjukkan imej suci tetapi terpalit dengan tuduhan rasuah.
“Kita jangan ukur luaran. (Sebab itulah) banyak kleptokrat berserban. Klepto berserban labuh, kan? Lagi besar jubah dia lagi banyak dia boleh simpan,” katanya dalam satu program bual bicara.
Tanpa menamakan sesiapa, beliau berkata golongan itulah yang kini ‘berduyun-duyun’ ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan rasuah.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, wartawan veteran Johan Jaafar, mengenai kritikan ke atas penampilannya yang tidak bertudung.
Mengulas isu itu, Rafidah berkata agama sepatutnya dilihat sebagai urusan peribadi yang tidak dicampuri orang lain.
Katanya beliau suaminya tidak mengarahkannya bertudung dan perkara sama tidak ditetapkan dalam Kabinet dan juga dalam perlembagaan negara.
“Kalaulah dosa saya tak bertudung, saya yang tanggung. Tak ada nas dari mana-mana maka dosa saya terbabit dengan awak,” katanya.
Bekas ketua Wanita Umno yang memegang jawatan itu dari 1999 hingga 2009 itu turut memberi amaran mengenai kerjasama parti itu dengan PAS.
Beliau mengingatkan kepada ahli Umno supaya tidak lupa sentimen ekstrem PAS ke atas parti itu dahulu.
“Ingat tak dulu, masa PAS dan dengan Umno dulu, dia kata Umno kafir? Masa saya bertanding Kuala Kangsar ada orang PAS tidak mahu salam dengan saya, sebab kata saya orang kafir,” katanya.
Katanya sikap PAS pada waktu itu sangat ekstrem sehingga menuntut agar pengikut parti lain disemadi di kubur berasingan.
“Dekat Terengganu kubur asing-asing. Anak-anak muda ini tak faham. Dulu dia tak nak kubur sama tempat dengan orang bukan PAS,” katanya. – TMI