Gelaran ‘pondan’ yang dilontarkan kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary dalam perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini menunjukkan pembangkang Pas semakin kehilangan modal.
Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim berkata, ketandusan modal politik itu menyebabkan hanya kata-kata kutukan yang banyak terhambur dalam perbahasan parlimen sejak kebelakangan ini.
“Perkataan ‘pondan’ tidak wajar digunakan di Parlimen. Sudah jelas pihak pembangkang Pas dan Umno sedang memainkan isu perkauman sambil mengaitkannya dengan pelbagai tuduhan tidak berasas demi meraih sokongan Melayu.
“Bagi saya tindakan tegas harus diambil ke atas mereka kerana nampaknya mempunyai niat mempengaruhi orang Melayu supaya membenci DAP dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Juga Lim Guan Eng dan Kerajaan PH mesti sentiasa mengingatkan rakyat negara Malaysia hampir dimufliskan oleh mantan Kerajaan BN sebab kalau fakta ini tidak diberi penekanan, rakyat akan menuduh Kerajaan PH memungkirkan janji.
“Sekarang pun, rakyat sedang marah terhadap PH oleh kerana janji-janji yang tidak ditunaikan. Ia tidak ditunaikan oleh sebab kekurangan dana dan kekurangan dana ini akibat perbuatan bekas Perdana Menteri Najib Razak dan adegan-adegan 1MDB beliau,” kata ADUN Sekinchan itu kepada Suara Pakatan Daily.
Ng menegaskan DAP sejak 9 Mei 2018 terpaksa menghadapi berbagai tohmahan palsu kerana puak rasis Pas dan Umno gigih meyakinkan orang Melayu kononnya Kerajaan PH memberi terlalu banyak kuasa kepada DAP dan orang Cina.
“Terkini, dalam kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Rantau, isu kaum kuat dimainkan dan saya harap Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim akan berjaya meyakinkan orang Melayu supaya memilih calon PKR, Dr. S. Streram.
“Memang benar kalau negara diperintah oleh pemimpin yang boros, tamak dan gemarkan rasuah, maka negara akan tumbang. Pemimpin yang baik mesti dipilih walaupun pemimpin itu bukan orang Melayu.
“Tidak guna jika orang Melayu mengamalkan sentimen perkauman, negara akan menjadi mundur. Orang Melayu mesti sedar bahawa mereka tidak pernah hilang kuasa dan hujah Pas dan Umno bahawa ‘Melayu sudah hilang kuasa’ hanyalah palsu untuk memperdayakan kaum itu,” katanya lagi.
Justeru Ng berharap masyarakat Melayu akan menilai dengan bijak dan rasional kelakuan Ahli-ahli Parlimen Pas dan Umno dalam perbahasan di Dewan Rakyat.