Kenyataan Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Azlan Zainal bahawa 24.5 peratus pengundi atau penyokong Pakatan Harapan (PH) berpaling kepada BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Rantau mengesahkan PH akan kalah pada hari ini.
Namun faktor kekalahan tersebut bukan hanya wujud di Rantau malah kekecewaan melanda di seluruh negara. Isu kos hidup tinggi, pinjaman pendidikan dan kemerosotan hasil Felda yang pada logiknya memerlukan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan menyebabkan rakyat kecewa serta enggan terus menyokong PH.
Tinjauan Suara Pakatan Daily terhadap generasi muda, jelas golongan itu tidak mahu mengambil tahu timbunan hutang negara mencecah RM1 trilion. Sebaliknya mereka menganggap BN sangat ‘pemurah’ kerana sebelum ini memberi Bantuan Sara Hidup Bujang sebanyak RM450 berbanding PH hanya RM100.
“Saya amat kecewa dengan duit RM100 di bawah skim BSH (Bantuan Sara Hidup) yang diberi oleh Kerajaan PH kepada golongan bujang yang sedang bekerja dengan gaji di bawah RM2,000 atau yang sedang menganggur.
“Dulu Kerajaan BN beri RM450. Walaupun Malaysia mempunyai jumlah hutang yang banyak, sekurang-kurangnya berilah RM300 sebab orang bujang pun sedang bergelut dengan kos sara hidup yang menekan.
“Contohnya seorang anak lelaki saya yang bekerja sebagai kerani gaji hanya RM1,500. Kalau dapat RM300 dari BSH, boleh bayar insuran dan cukai jalan untuk kereta lamanya. Kenapa Kerajaan PH kedekut sangat!
“Nasib baik harga telur biasa 30 biji sudah turun kepada RM9.10. Itupun setelah kita banyak buat bising,” kata seorang penjaja makanan, Maimunah, 60an, di Segambut, Kuala Lumpur
Beliau yang mengaku menyokong PKR memberitahu, jiran-jirannya dari pelbagai kaum yang menyokong PKR kecewa kerana kos sara hidup masih tinggi dan harga minyak RON95 masih kekal pada RM2.08 seliter.
“Sepatutnya, harga RON95 diturunkan lagi. Pendapat saya walaupun orang-orang Felda telah diberi banyak bantuan oleh Kerajaan PH namun PH tetap akan kalah dalam PRK Rantau kerana kerajaan tidak membawa perubahan yang besar.
“Rakan anak lelaki saya yang membantu kempen PKR di sana memberitahu calon Umno, Mohamad Hasan akan menang dengan lebih 1,500 undi kerana dia orang lama di situ dan banyak buat kerja.
“Walhal calon PKR, Dr. S. Streram orang baru. Walaupun telah buat kerja sejak beberapa tahun lalu Umno tetap akan menang kerana orang Melayu ramai akan keluar mengundi, sementara Cina dan India patah semangat dan tidak minat mengundi,” katanya.
Maimunah menegaskan, sokongan hanya akan pulih sekiranya Kerajaan PH meneruskan usaha menurunkan harga barang dan memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat.
“Kini ramai orang Melayu kata di bawah pentadbiran Najib manfaat mereka dapat lebih banyak. Jika Kerajaan PH masih kedekut maka tidak mustahil BN akan kembali menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15,” tambahnya.