BN melihat pilihan raya umum ke 15 adalah milik mereka berdasarkan kemenangan besar Mohamad Hasan di DUN Rantau.
Bagaimanapun adakah BN sedar kemenangan itu akibat jentera Pakatan Harapan (PH) yang lemah dan tidak konsisten, bukannya disebabkan rakyat Rantau benar-benar faham isu semasa?
Kempen kencing
BN ranggi dengan kempen ‘kencing’ di Rantau. Rakyat dengan mudahnya termakan fitnah dan mengundi mereka. Lebih mengejutkan kubu PH di Pekan Sagga yang majoritinya pengundi India menolak calon sebangsa mereka Dr S Streram. Adakah penolakan ini tulen?
Jawapannya mudah. Wartawan yang membuat tinjauan di Rantau mendapati masyarakat setempat hanya tahu, selepas 10 bulan PH memerintah kerajaan telah menghapuskan GST tetapi barang masih mahal; bantuan sara hidup bujang diturunkan daripada RM450 kepada RM100; Kementerian Kesihatan melarang menghisap rokok di kedai makan dan beberapa hal kecil yang lain.
Pengundi langsung tidak tahu kerajaan telah mewujudkan lebih 15 skim bantuan dan berpuluh-puluh pembaharuan polisi. Mereka tidak tahu terdapat insurans kesihatan Mysalam kepada golongan B40, skim KWSP suri rumah i-Suri, food bank, rancangan menghapuskan tol dan pelbagai lagi.
Lebih parah, pengundi juga tidak tahu kerajaan negeri telah melancarkan bas percuma di Seremban, bantuan bulanan RM50 tambang bas sekolah, pemulihan tanah terbiar, tabung usahawan dan pelbagai inisiatif lain.
Tolak PH
Maka amat logik mereka melakukan undi protes dengan memangkah Tok Mat kerana kerajaan PH dianggap makan gaji buta selama 10 bulan memerintah di Putrajaya dan Seremban.
Tidak rugi mereka mengundi protes kerana kerajaan pusat tidak akan bertukar dan kerajaan negeri juga sedemikian. Situasi ini mustahil berlaku dalam pilihan raya umum. Kaum Cina dan India akan dibayangi isu hudud Pas dan Ketuanan Melayu melampau BN sekiranya kerajaan bertukar tangan.
Tambah parah
Kelemahan PH diparahkan lagi apabila jentera kempen tidak tersusun dan peruntukan kewangan hampir tiada. Jentera yang turun mengharapkan kewangan selesa setelah PH menjadi kerajaan. Malangnya pemimpin peringkat negeri dan pusat mahu penyokong mengeluarkan wang saku sendiri sebagaimana PH masih pembangkang.
Oleh itu, jentera di hampir seluruh pelusuk Rantau tidak bergerak. Pos khemah PH tiada petugas dan hanya meriah sekiranya ada menteri turun atau Presiden PKR Anwar Ibrahim mengunjungi mereka.
Jentera sombong
Selain itu, jentera tempatan tidak mesra kepada sukarelawan yang datang untuk membantu. Mereka tidak mahu menjadi keluarga angkat dan menyediakan segala keperluan asas. Sukarelawan juga tidak disediakan jadual khusus untuk membantu berkempen. Akibatnya sukarelawan yang datang sejauh Kedah, Sabah dan Sarawak hanya duduk-duduk sambil bersembang kosong.
Bagi yang degil untuk membantu, mereka melakukan culaan dari rumah ke rumah. Malangnya jentera tempatan juga melakukan hal yang sama. Pengundi bosan kerana tiga jentera mengunjungi rumah mereka menanyakan soalan sama sebagaimana berlaku di PDM Bandar Ekar.
Jentera juga didapati tidak mengedarkan risalah yang menceritakan kejayaan kerajaan negeri. Risalah masih berlambak di BGU selepas Tok Mat diumumkan menang pada malam 13 April. Mana mungkin pengundi tahu apa yang dibuat oleh kerajaan negeri sepanjang 10 bulan memerintah.
Letak jawatan
Di peringkat kawasan terdapat beberapa ketua unit yang mengugut meletak jawatan kerana ketiadaan peruntukan. Kemuncak segala itu adalah perletakkan jawatan Ketua PACA bagi seluruh DUN Rantau pada pukul 4.00 pagi hari mengundi.
Semua ini ditambah dengan keengganan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menggunakan saluran rasmi kerajaan mempropagandakan skim-skim bantuan yang diwujudkan. Akhirnya pengundi Rantau mengundi dalam keadaan marah yang meluap-luap terhadap kerajaan persekutuan dan negeri.
Maka terhasilkan keputusan pada 13 April lalu.