Penjawat awam di Pulau Pinang disarankan untuk menyumbang idea, saranan dan kerangka demi kelangsungan negeri dalam usaha mencapai visi Penang 2030.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka untuk menerima dan mendengar cadangan-cadangan serta idea demi penambahbaikan dasar-dasar sedia ada.
“Kita dalam usaha untuk menyiapkan perincian mengenai visi Penang2030 yang akan melibatkan pelbagai sektor dan peringkat.
“Visi Penang2030 ini akan menjadi tulang belakang dalam merencanakan pembanguman negeri dan sudah tentu ia memerlukan kerjasama serta penglibatan semua penjawat awam di Pulau Pinang,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Menurutnya, para penjawat awam juga harus melihat kepada cabaran yang perlu ditempuhi untuk meyakinkan para pelanggan bahawa perkhidmatan yang ditawarkan adalah cepat, tepat dan berkualiti.
“Isu-isu seperti kelewatan, kerenah birokrasi dan kepelbagaian SOP perlu terus diperbaiki supaya sistem penyampaian pentadbiran awam akan terus relevan dalam kalangan pelanggan,” katanya.
Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata, inisiatif dan pemantauan secara berterusan juga harus dilaksanakan sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.