Pendekatan unik Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung menganjurkan Program Ambang Ramadan berkonsepkan pertandingan azan, hafazan, nasyid dan bercerita wajar dicontohi dalam usaha memartabatkan syiar Islam di Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, bulan Ramadan adalah sangat istimewa dalam kalendar Islam kerana ia masa terbaik untuk mendidik nilai-nilai murni dikalangan masyarakat.
“Walaupun kerajaan negeri sibuk membangunkan bidang teknologi, ekonomi dan industri, tetapi kita tidak pernah lupa untuk mengadakan program-program bagi memartabatkan syiar Islam.
“Ini kerana dalam kalendar tahunan kerajaan negeri juga ada menyenaraikan program-program bersifat keagamaan. Kita amat menggalakan penganjuran program seperti ini,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri amat menghargai usaha-usaha untuk meraikan ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi.
Sementara itu, Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, program yang julung kali diadakan di Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh itu mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.
“Kita menerima penyertaan seramai 175 orang peserta yang terdiri daripada murid-murid darjah satu hingga enam di Sekolah Kebangsaan Permai Indah, Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh, Kafa Masjid Kampung Sekolah dan Kafa Nurul Ehsan Bagan Nyior.
“Saya percaya, tanpa bimbingan dan tunjuk ajar daripada ustaz, ustazah, guru dan ibu bapa tidak mungkin anak-anak ini dapat mempamerkan kebolehan, kepintaran, kreativiti dan keberanian mereka di khalayak ramai,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Bekas Timbalan Pengerusi PKR Kedah itu berkata, objektif penganjuran program tersebut adalah untuk menyambut ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi.