Pegawai agensi anti rasuah menyerbu pejabat Maika Holdings dan setiausaha syarikatnya semalam, merampas fail dan dokumen sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap dakwaan rasuah dan salah guna kuasa, menurut sumber.
The Malaysian Insight difahamkan pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat Maika Holdings di Klang dan pejabat setiausahanya di Brickfields.
“SPRM menyerbu keduadua pejabat kira-kira pukul 12 tengah hari semalam. Pegawai berada di sana selama beberapa jam sebelum beredar bersama beberapa dokumen,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Satu lagi sumber berkata, SPRM akan menjalankan lebih anyak serbuan dan sudah menyenaraikan beberapa pegawai utnuk disoal siasat.
Serbuan semalam dibuat selepas SPRM menerima dokumen berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dalam Maika Holdings daripada pemberi maklumat pada Mac.
Dokumen yang dilihat The Malaysian Insight itu mengandungi butiran dakwaan transaksi meragukan yang dibuat dari 2000 hingga 2007.
Sumber itu juga berkata, SPRM diarahkan mengambil tindakan terhadap Maika Holdings berikutan pendedahan yang dibuat oleh Sarawak Report pada akhir Februari.
Sarawak Report mendakwa Maika Holdings meluluskan jutaan ringgit dalam bentuk tunai dan bayaran dalam bentuk lain kepada syarikat berkaitan bekas ketua eksekutifnya Vell Paari.
Ia mendakwa dokumen baru dari prosiding likuidasi Maika mencadangkan Vell Paari mengambil berjuta-juta daripada dana tersebut yang berakhir dengan keruntuhannya, dengan wang itu kebanyakannya dipindahkan ke beberapa syarikat berkaitan dengan pemimpin MIC.
Vell Paari, yang juga setiausaha sagung MIC itu bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dan mengatakan bayaran yang dibuat kepadanya ketika menjadi pegawai eksekutif adalah bayaran balik kerana Maika Holdings berhutang dengannya.
Beliau juga berkata laporan Sarawak Report berhubung perkara itu diterbitkan selepas cubaan mengugutnya gagal.
Vell Paari yang merupakan anak kepada bekas pemimpin MIC, S. Samy Vellu berkata, beliau dihubungi oleh dua pihak, yang mana salah satu daripadanya menuntut RM3.5 juta untuk hentikan artikel itu daripada disiarkan Sarawak Report.
Maika ditubuhkan oleh Samy Vellu pada 1980-an sebagai syarikat pelaburan, yang memfokuskan kepada masyarakat India.
Ia berjaya mengutip RM106 juta daripada 66,400 pemegang saham — 70% daripadanya adalah golongan berpendapatan rendah — untuk aktiviti peaburannya, tetapi keuntungannya didakwa disalurkan ke tempat lain.
Pada 2013, G Team Resources & Holding Sdn Bhd yang diterajui hartawan G. Gnanalingam dan S. Kunasingam, mengambil alih Maika. Pada 2015, G Team setuju untuk membayar balik kepada pemegang saham Maika yang belum menjual saham mereka.
Pemimpin MIC memberitahu The Malaysian Insight yang mereka tiada apa-apa untuk dikatakan tentang Maika Holding sejak ia diambil alih, dengan syarikat itu berpindah dari ibu pejabat MIC ke Klang.
Maika Holdings kini dalam proses likuidasi. – TMI