Berita buruk yang berterusan tentang Malaysia akan menyebabkan mata wang ringgit terus menjunam dalam waktu terdekat selepas ia jatuh semalam ke paras paling rendah dalam masa tiga bulan, kata pakar mata wang.
Ringgit ditutup pada RM4.133 berbanding AS$1 semalam, menandakan kadar tukaran wang asing terendah dalam hampir tiga bulan.
“Kami menjangkakan tekanan negatif jangka pendek terhadap ringgit akan berterusan. Pertembungan tajuk berita negatif global dan tempatan masih belum menjejaskannya ,” kata pakar ekonomi mata wang Bank OCBC, Terence Wu kepada The Malaysian Insight.
Beliau merujuk kepada berita pada Isnin tentang penyedia indeks global FTSE Russell menyemak paras kebolehcapaian pasaran Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) susulan kebimbangan tentang kecairan pasaran.
Morgan Stanley dalam satu nota penyelidikan berkata kira-kira AS$8 bilion (RM33 bilion) akan mengalir keluar dari Malaysia jika bonnya diturunkan oleh FTSE Russell.
Beliau berkata begitu juga dengan tajuk berita utama tempatan, contohnya seperti salah urus Felda, juga membawa kesan buruk.
Wu berkata kelemahan dalam unit tempatan ialah sentimen yang mendorong, ditambah dengan berita negatif, sesetengahnya hanya spekulasi.
Bagaimanapun katanya, tidak ada pengeluaran kapital berlebihan dari negara untuk mencetuskan panik.
Daripada segi ekuiti, momentum pelabur menarik balik wang daripada penjualan pegangan, masih sederhana.
Pencapaian dagangan Malaysia di mana eksport mula perlahan tidak selari dengan negara Asia lain. Semua itu, ditambah dengan penambahbaikan dalam rizab asing, menunjukkan pelabur tidak panik, katanya.
“Kita tidak melihat pelabur yang panik berlebihan dan tidak percaya ia akan menjejaskan asas makro ekonomi Malaysia bagi tempoh jangka panjang.
“Daripada segi struktur, kami fikir ringgit sepatutnya masih mendapat faedah daripada dolar AS yang lebih rendah dan kompleks RMB (Renminbi) yang lebih kukuh.
“Oleh itu, kami jangka jurang dolar AS dan ringgit lebih rendah pada hujung tahun berbanding paras semasa,” katanya. – TMI