Identiti pemimpin PAS yang bertanggungjawab menerima wang daripada Umno akan didedahkan sedikit masa lagi, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian dalam satu forum bersama siswa Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) ketika ditanya sekiranya kes itu hanyalah satu isu untuk dibangkitkan semasa pilihan raya.
Jelasnya, pendedahan mengenai dakwaan wang RM90 juta disalurkan kepada PAS itu memerlukan masa kerana ia masih disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Jawapan daripada SPRM ialah tiada kesan wang 1MDB kepada PAS. Tuduhan bukan wang 1MDB tetapi wang daripada Umno RM90 juta dan itu masih dalam siasatan.
“Saya ada maklumat khusus beberapa angka dan siapa yang dapat, saya sudah lihat akaunnya. Saya tidak akan sebut sekarang, beri tempoh sedikit, benda ini belum tutup,” katanya.
Sewaktu sesi soal jawab dalam forum pada malam tadi, beliau ditanya seorang mahasiswa yang mempersoalkan sikap ahli politik membangkitkan isu tertentu ketika kempen pilihan raya.
Bagaimanapun, ahli politik berkenaan hanya membisu apabila kempen selesai dengan mengambil contoh isu wang RM90 juta yang diterima oleh PAS daripada Umno, kata siswa berkenaan.
Soalan itu jelas merujuk kepada Anwar, yang mendedahkan bukti PAS membuat bayaran untuk menyelesaikan saman ke atas pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Pendedahan itu dibuat oleh ahli Parlimen Port Dickson itu pada peringkat akhir kempen bagi PRK DUN Semenyih, akhir Februari lalu.
Ia menunjukkan PAS membuat bayaran bagi kes saman fitnah difailkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang atas laporan Sarawak Report mendakwa parti itu menerima RM90 juta daripada Umno.
Dokumen yang didedahkan itu menunjukkan bukti RM1.4 juta dibayar kepada Rewcastle-Brown, sedangkan dakwaan RM90 juta dibayar oleh Umno kepada PAS itu kekal di portal Sarawak Report.
Susulan itu, beberapa orang lagi pemimpin kanan PAS serta seorang tokoh korporat yang didakwa membuat bayaran bagi menyelesaikan saman Hadi itu disiasat SPRM pada Mac.
SPRM mendapati wang didakwa disalurkan dari Umno kepada PAS itu “dibersihkan” dengan memindahkannya dari satu akaun ke akaun lain, melibatkan beberapa akaun, sama seperti taktik dalam pengubahan wang haram.
Seterusnya, Anwar pada malam tadi menjelaskan, pendedahan mengenai dokumen pembayaran itu adalah bukti PAS sebenarnya tewas dalam kes mahkamah tersebut.
“Cerita kepada orang PAS, kita sudah menang tetapi dokumen yang saya baca keputusan mahkamah Abdul Hadi bersetuju untuk bayar RM1.4 juta kepada Clare Rewcastle.
“Bila saya sebut ini mereka kata saya bohong, ini dokumen mahkamah bacalah. Kes itu ditarik balik kerana dibayar duit,” tegasnya dalam program “Meet Anwar di kampus Usim”. – TMI