Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa wang berjumlah RM50 juta telah dimasukkan daripada akaun milik syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd ke dalam akaun milik Ihsan Perdana Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.
Gandingan Mentari merupakan syarikat subsidiari SRC International Sdn Bhd manakala Ihsan Perdana merupakan syarikat yang mengendalikan tanggungjawab sosial korporat bagi SRC.
Rosaiah Mohamed Rosli, 53, yang merupakan pegawai pemprosesan Affin Bank di Menara Affin Bank Jalan Raja Chulan, mengesahkan Affin Bank telah menerima data melalui Single Credit Confirmation Advice untuk mengkreditkan akaun pelanggan bank itu iaitu Ihsan Perdana dengan jumlah RM40 juta dari akaun AmIslamic Bank milik Gandingan Mentari pada 24 Dis 2014.
Single Credit Confirmation Advice merupakan dokumen yang dijana oleh Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS).
“Saya mengesahkan bahawa Affin Bank telah mengkreditkan RM40 juta ke dalam akaun Affin Bank milik Ihsan Perdana bernombor 106180001108 pada hari sama (24 Dis 2014),” katanya ketika diminta membuat pengecaman ke atas Single Credit Confirmation Advice yang dirujuk oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim.
Rosaiah, yang membaca kenyataan saksi itu turut mengesahkan wang berkenaan telah dimasukkan ke dalam sistem pengkreditan di ruangan Teller oleh Elfidawati Ali Buzar pada 3.17 petang, hari sama.
“Semakan telah dibuat oleh Group 2 iaitu Abdullah Hadi Hamidon dan diluluskan oleh Mohd Zulhaini Zuall Cobley.
“Proses pengesahan, semakan dan kelulusan untuk mengkredit jumlah wang ini dibuat pada hari sama, iaitu 24 Dis 2014,” katanya pada hari kelapan perbicaraan kes bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Saksi ke-20 pendakwaan itu turut mengesahkan Affin Bank juga telah mengkreditkan RM5 juta dari akaun AmIslamic Bank milik Gandingan Mentari ke dalam akaun sama milik Ihsan Perdana pada 5 Feb 2015.
“Saya mengesahkan RM5 juta itu telah dimasukkan ke dalam sistem pengkreditan di ruangan Teller oleh Atikah Mohd Yasin pada jam 3.49 petang.
“Semakan dibuat oleh Group 2 iaitu Felicity Ann Abraham dan telah diluluskan oleh Abdullah Hadi Hamidon.
“Proses pengesahan, semakan dan kelulusan untuk mengkredit jumlah wang ini dibuat pada hari sama, iaitu pada 5 Feb 2015,” katanya yang bertugas di bahagian pemprosesan sejak 2001.
Rosaiah juga mengesahkan pihak Affin Bank juga telah mengkreditkan RM5 juta daripada akaun sama milik Gandingan Mentari ke dalam akaun Affin Bank milik Ihsan Perdana pada 6 Feb 2015.
Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung. – mkini