Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sudah membuat penjelasan dan meminta maaf atas rombakan exco Johor kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, lapor Malaysiakini.
Laporan portal itu yang memetik sumber menyebut yang permohonan maaf itu dibuat ketika mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu pada malam Isnin.
Menurut sumber, Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu marah dengan rombakan yang dilakukan ke atas barisan exco Johor.
“Muhyiddin memberikan versi kejadian yang membawa kepada atau menyumbang kepada rombakan exco (Johor), dan beliau kemudian meminta maaf,” kata sumber dipetik berkata.
“PM tidak mengatakan apa-apa lagi, tetapi berkata sukar untuk beliau menegakkan kedaulatan undang-undang khususnya merujuk kepada Sultan Johor (dan kenyataan Dr Mahathir ini) dipersetujui oleh majlis tertinggi,” tambah sumber.
Kemarahan Dr Mahathir itu berpunca daripada tindakan Menteri Besar Johor baharu Dr Shahruddin Jamal – juga daripada Bersatu- yang membuat rombakan exco menurut titah Istana Johor walaupun Kabinet bersetuju untuk tidak melakukan rombakan itu.
13 April lalu, bekas menteri besar Osman Sapian memberitahu wartawan yang Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahukan rombakan dilakukan ke atas barisan exco Johor.
Tiga exco baharu itu mengangkat sumpah di hadapan Sultan di Istana Bukit Serene pada Isnin. Mereka ialah Tosrin Jarvanthi dan Mohd Solihan Badri, kedua-duanya daripada Bersatu dan Tan Chen Choon daripada DAP. – TMI