Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau melarang pimpinan PKR Kelantan menyambutnya dengan suasana meriah ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, semalam.
Katanya, ini kerana beliau mahu ubah kebiasaan tersebut kerana kini PH sudah menjadi kerajaan persekutuan.
“Saya peringat kepada pimpinan negeri, jangan tunjuk gah. Saya pesan pengerusi PKR negeri, saya larang supaya jangan sambut saya secara besar-besaran di airport.
“Sebab apa, dulu lain kita kena gah sebagai pembangkang. Sekarang kita dalam kerajaan, kita kena tunjuk kita lebih sederhana,” katanya ketika berceramah di program Bicara Perdana di Tanah Merah, semalam.
Hadir sama Pengerusi PH Kelantan Senator Husam Musa dan Pengerusi PKR Kelantan, Mohaamd Suparadi Md Noor.
Anwar berkata demikian sebagai mengulas ada pihak yang mempersoalkan bahawa beliau tidak disambut dengan meriah ketika tiba ke negeri itu.
Anggota parlimen Port Dickson itu berkata, beliau memilih begitu untuk membawa perubahan.
“Pergi ke airport lima orang saja sambut, salah pula. Dah ada orang telefon Suparadi kata lagu tu, kata Suparadi ini tak hormat presiden datang, kamu sambut lima orang saja.
“Padahal saya nak bawa perubahan. Tapi dia bagi makan sedap tak apalah, makan ini penting sebab apa, saya dalam penjara lama.
“Mana ada makan (sedap), teh tarik pun tak ada,” katanya berseloroh disambut ketawa khalayak yang hadir. – mkini