Kalangan aktivis Umno tetap percaya rundingan masih dijalankan untuk menarik ahli Parlimen parti itu untuk berpaling tadah menyertai parti kerajaan, walau dinafikan oleh pemimpin parti.
Tokoh yang dituduh terlibat sebagai broker dalam usaha tersebut adalah bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein yang menafikannya apabila dakwaan itu muncul Oktober lalu.
Dakwaan itu reda seketika hujung tahun lalu apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan untuk bercuti dan menyerahkan tugas kepada timbalannya Mohamad Hasan.
Pada waktu itu, Hishammuddin dikritik hebat oleh aktivis parti secara terbuka di media sosial yang mendakwa bekas naib presiden Umno itu mengatur urusan tersebut.
Paling lantang Presiden Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia (Nadi Rakyat) Rafi Awang Kechik dan bekas setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak Zaharin Mohd Yasin.
Rafi ketika dihubungi The Malaysian Insight mengulangi dakwaan bahawa Hishammuddin berunding dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk membawa masuk pemimpin Umno ke dalam Bersatu.
Ia bertentangan dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno agar sebarang rundingan dengan parti lain untuk membentuk kerajaan atau pembangkang perlu dibuat secara bersama atau en-bloc, katanya.
“Di peringkat awal Umno bersetuju dengan apa jua cadangan untuk berunding dengan mana-mana parti dengan syarat secara en bloc, bukan dengan cara melepaskan tengkuk masing-masing.
“Kalau tengok tindakan dan kenyataan-kenyataan dia, maknanya rundingan itu masih berjalan, cuma kita tidak ada bukti yang khusus,” katanya.
Beliau berkata keputusan tersebut dibuat oleh Umno selepas parti itu tewas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu.
Desas-desus itu muncul kembali akhir tahun apabila Hishammuddin didapati membawa keluarganya untuk bercuti di Maghribi dengan keluarga Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.
Dakwaan itu muncul semula kerana kedua-dua pemimpin itu dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Dr Mahathir.
Aktivis parti seterusnya mendakwa usaha memujuk ahli Parlimen BN berpaling tadah itu digerakkan semula berdasarkan kenyataan Hishammuddin pada awal bulan lalu.
Ahli Parlimen Sembrong tersebut dilaporkan berkata ahli Parlimen BN akan menyokong Dr Mahathir sekiranya wujud gerakan dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan perdana menteri itu.
Mengulas perkembangan itu, Rafi berkata beliau jengkel dengan tindak-tanduk tersebut dan mencadangkan kepada Hishammuddin untuk keluar parti jika benar-benar berniat demikian
“Kalau hendak keluar, keluarlah. Jangan rosakkan parti. Semua tahu dia ada cita-cita besar. Saya bukan serang secara peribadi cuma tindak-tanduk H2O (Hishammuddin) ini menyakit mata,” kata Rafi.
Zaharin pula ketika ditemui The Malaysian Insight juga menyatakan dengan yakin bahawa beliau melihat “rundingan masih berjalan”.
Usaha berkenaan akan melemahkan lagi Umno yang kini hanya menguasai 37 kerusi Parlimen selepas 17 ahli Parlimen keluar parti.
Namun anak buah Hishammuddin menganggap tuduhan berkenaan sebagai fitnah semata-mata dan menafikan ahli Parlimen Sembrong itu menjadi broker dan tali barut lawan.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Sembrong Hafiz Ariffin urut menjelaskan mengenai pertemuan ahli Parlimen Umno dan Hishammuddin selepas parti itu tewas PRU14 tahun lalu.
Katanya, pertemuan itu hanyalah untuk mendapatkan pandangan mengenai hala tuju dan masa depan parti.
“Dalam keadaan ramai yang kata Hisham adalah tali barut, Hisham adalah broker, ini semua hanya persepsi dan tanggapan sinis.
“Perkara yang sebenar adalah, sejurus kalah pada PRU 14 yang lepas, ramai rakan MP yang bertemu (Hishammuddin) bertanya dan bertukar pendapat atas kapasiti sebagai kawan lama, apa dan bagaimana hala tuju di dalam parti pasca PRU14,” katanya.
Katanya, pertemuan itu berlaku dalam keadaan di mana ahli Parlimen parti tidak lagi mendapat sebarang perhatian dan bantuan dari kerajaan Pusat.
Beliau berkata pada masa itu, akaun parti dibekukan dan aset disita susulan siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd yang membelit Najib Razak.
“Perkara ini menjadi cabaran untuk melakukan tugasan selaku ahli Parlimen. Ramai yang patah semangat, hendak meninggalkan parti.
“Tapi Hisham terus memujuk mereka supaya kekal di dalam parti, memberikan kepercayaan dan sokongan terhadap Tok Mat (Mohamad Hasan) selaku timbalan presiden menjalankan tugas presiden,” katanya.
Perkara yang sama turut dikongsi Ahli Parlimen Kuala Krau Ismail Mohamed Said yang berpendapat dakwaan berkenaan hanyalah usaha melaga-lagakan pemimpin parti.
Beliau berkata Hishammuddin tidak pernah memujuk beliau keluar parti sewaktu menyertai pertemuan ahli Parlimen dengan bekas naib presiden parti itu.
Katanya, Hishammuddin memainkan peranannya dengan baik dalam membantu parti walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam Umno.
“Cukup-cukuplah melagakan para pemimpin Umno. Tidak ada istilah kabilah Bagan Datuk, kabilah Rantau, mahupun kabilah Sembrong.
“Sepanjang saya dan sahabat ahli Parlimen bertukar pandangan atau berjumpa Hishammuddin, tidak pernah sekali pun beliau ajak atau minta kami semua untuk keluar parti Umno.
“Bahkan (Hishammuddin) minta kekal dalam Umno, termasuk rakan-rakan dari Sabah yang kini menyertai Bersatu,” katanya. – TMI