DAP yakin akan mengekalkan penguasaannya ke atas kerusi Parlimen Sandakan melalui calon Vivian Wong dalam pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan pada 11 Mei ini.
Menurut Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, keadaan politik Sabah yang lebih terbuka berbanding di Semenanjung meyakinkan DAP wujudnya persaingan sihat tanpa diganggu gugat oleh emosi yang melampau.
Menurutnya, biarpun calon PBS Linda Tsen Thau Lin mempunyai pengalaman sebagai Ahli Parlimen selama 2 penggal setelah memenangi PRK Batu Sapi pada November 2010 namun rakyat Sabah yang masih dalam mood inginkan lebih banyak pembangunan pasti akan selesa menyokong calon kerajaan memerintah.
“Pertarungan di Sandakan menyaksikan cabaran yang bukan mudah untuk diatasi DAP kerana calon pihak lawan adalah seorang yang mempunyai pengalaman cukup sebagai Ahli Parlimen. Namun demikian, saya berpendapat DAP mempunyai peluang baik untuk menang dengan kerjasama dari rakan sekutu kita, parti Warisan.
“Juga dengan tiadanya politik perkauman yang boleh membahagi-bahagikan rakyat seperti yang telah dipromosikan oleh puak-puak BN. Saya yakin rakyat boleh membuat keputusan yang bijak tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur perkauman,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
ADUN Sekinchan itu juga menjelaskan budaya politik Sabah lebih mementingkan persefahaman rakyat pelbagai kaum dan agama. Justeru itu, iklim politik di sana lebih ‘stabil’ berbanding di Semenanjung.
“Oleh itu, DAP akan bekerja sedaya-upaya untuk memberi penerangan kepada pengundi tentang dasar-dasar Kerajaan Pakatan Harapan. Kita tidak akan memandang remeh cabaran dari pihak lawan dan saya jangka ini akan menjadi satu cabaran yang sengit untuk PH membuktikan bahawa kita adalah kerajaan masa depan rakyat. Saya harap rakyat di Sabah akan terus menyokong PH,” tambahnya.
Terdapat 39,777 pengundi berdaftar di Sandakan di mana 49% adalah berketurunan Cina, 44% Bumiputra Islam dan 6% Bumiputra bukan-Islam