Patriot bingung dengan tuduhan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang mendakwa orang Islam dibuli di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, Asri turut meminta perdana menteri mendengar keluhan akar umbi.
Desakan mufti itu bergantung kepada naratif siapa yang didengarnya, kata Presiden Patriot Mohamad Arshad Raji dalam satu kenyataan hari ini.
“Semuanya bergantung berita pihak mana didengar mufti. Sudah tentu, dia tidak boleh tidak sedar dengan kerja ‘spin masters’ yang menghebahkan penipuan tentang isu kaum, agama dan raja, dan isu-isu terdesak lain, kerana parti pembangkang tidak ada apa-apa mengenai kesalahan kerajaan PH (Pakatan Harapan) tentang isu nasional.
“Penghebah berita palsu ramai dalam arena perang saraf psikologi politik perkauman. Dengan mendengar keluhan tidak disahkan rakyat yang boleh menyebabkan kebimbangannya tidak berasas,” katanya merujuk kepada tuduhan Asri tentang layanan Putrajaya kepada orang Islam.
Asri dalam satu catatan Facebook menuduh orang Islam dibuli kerajaan PH selepas penahanan Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu kerana didakwa menghina agama Hindu.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad segera mengecam mufti Perlis itu sebagai “pekak” dan mempertahankan tindakan Putrajaya berkaitan hal ehwal Islam.
“Jika dia boleh dengar, kami dah banyak buat benda untuk orang Islam dan Islam, tetapi dia tak dengar,” katanya dipetik berkata.
Arshad berkata penahanan Zamri yang dibantah Asri adalah isu terpencil.
“Biarkan siasatan dijalankan. Patriot suka menegaskan yang tidak ada sesiapa, penceramah mana-mana peganganpun, perlu membandingkan satu agama dengan yang lain. Berbuat demikian hanya akan mengundang ketidak puasan hati yang akan memecah belahkan masyarakat kita,” katanya. – TMI