Jumlah pelaburan asing yang diluluskan naik 48% kepada RM80.5 bilion pada 2018 berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM54.4 bilion, dan kerajaan Pakatan Harapan yakin 50,000 peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan menyebut yang peluang pekerjaan itu bukanlah “kerja biasa” tetapi pilihan berkualiti tinggi untuk semua rakyat Malaysia.
“Kerajaan mengalakkan pelaburan ke dalam sektor baharu yang berkaitan langsung dengan Industri 4.0 yang akan membentuk pekerjaan berkualiti tinggi kepada semua rakyat Malaysia,” kata Lim.
“Tetapi kita tak mahu apa sahaja jenis kerja. Kita mahu kerja yang boleh angkat kita berbanding perangkap kita dalam kitaran ganas yang tidak memberikan jaminan keselamatan ketika kecemasan. Kita perlukan kerja yang menyokong perkongsian kemakmuran,” katanya sempena Hari Buruh hari ini.
Lim juga berkata, pembentukan pekerjaan diperlukan kerana Malaysia sedang mengalami perubahan struktur disebabkan persaingan negara jiran yang kosnya lebih rendah seperti Vietnam.
Tambahnya, kemunculan dan perkembangan ekonomi digital serta Industri 4.0 berpotensi menghapuskan pekerjaan berproduktiviti rendah.
“Untuk melindungi pekerja sedia ada daripada kehilangan kerja kerana gangguan digital, pekerjaan baharu perlu dibentuk,” katanya lagi.
Tambahnya, kerajaan juga sedang meneliti langkah untuk menangani pengangguran belia dan graduan.
“Kerajaan sedang menggubal penyelesaian berasaskan pasaran untuk meningkatkan pendapatan graduan Malaysia dan menangani masalah pengangguran.
“Kerajaan baharu juga meningkatkan gaji minimum kepada RM1,100 dalam usaha meningkatkan kebajikan pekerja dan meningkatkan kualiti pertumbuhan, dan pada masa sama menjadikan ia lebih inklusif,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan itu juga mendedahkan kerajaan menyedari pekerja di negara ini hanya memperolehi 35% daripada KDNK negara pada 2017, antara yang terendah dalam negara membangun.
Katanya, Malaysia perlu menetapkan hasrat menyertai negara lain dalam nisbah gaji dan KDNK seperti Singapura (41%) dan Amerika Syarikat (43%).
Bagaimanapun, Lim berkata untuk menjadi negara maju dan menyertai kumpulan ekonomi berpendapatan tinggi, rakyat Malaysia perlu bersatu melawan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan agama dan kaum untuk memecah belahkan negara.
“Dengan hanya bergerak ke depan sebagai satu pihak, termasuk pekerja dan majikan, meraikan kepelbagaian, menghormati perbezaan, menggalakkan wanita untuk bekerja dan menjunjung hak pekerja kita boleh berkongsi kemakmuran,” kata setiausaha agung DAP itu. – TMI