Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya pentadbiran kerajaan sekarang bersifat liberal.
Beliau berkata, konsep Rahmatan Lil Alamin yang diperkenalkan pihaknya bukan ‘tiket’ untuk mengiyakan pembuatan mungkar, sebaliknya mereka jelas menolak perbuatan yang salah di sisi agama.
“Kita kena tarik pelaku kemungkaran supaya dia tidak terus terjerumus dalam keadaan itu. Itu ayat yang selalu saya sebut, tetapi masyarakat salah faham, sedangkan dalam mana-mana kenyataan, tidak pernah pun saya menyokong kepada kemungkaran.
“Piawaian syariah akan menentukan sama ada perkara itu mungkar atau tidak.. kalau syariah kata mungkar, maka mungkar lah.. itu yang selalu saya sebutkan.
“Cuma pelaku kemungkaran, itu yang akan melibatkan amar makruf nahi mungkar. Kita kena tegur dan bimbing supaya dia keluar dari kemungkaran.. malang sekali kalau itu pun dianggap liberal kerana ianya adalah ajaran Nabi Muhammad SAW.
“Itu semua (kerajaan bersifat liberal) hanya dakwaan masyarakat. Apa yang penting adalah niat kita,” katanya.
Mohamad (tengah), Mujahid (kanan) dan Zulkifli bergambar bersama pegawai tentera daripada ketiga-ketiga cabang ATM, di Wisma Perwira, hari ini
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi panel jemputan dalam Program Nadwah Ilmiah (NAIM) Rahmatan Lil Alamin Peringkat Kementerian Pertahanan, di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hari ini.
Turut hadir dalam program yang bertujuan memperkasakan barisan kepimpinan agensi keselamatan mengenai pemahaman Maqasid Syariah itu ialah, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Program berbentuk kolokium ilmuan berpaksikan Maqasid Syariah itu, dianjurkan Kementerian Pertahanan melibatkan Jabatanarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Sementara itu, Mohamad Sabu berkata, semua anggota tentera perlu memahami dan menghayati konsep Islam yang berlandaskan kepada Rahmatan Lil Alamin (mercy to all creations) dalam perkhidmatan mereka agar menjadi petugas yang berdedikasi serta diberkati.
Beliau berkata, pendekatan itu amat penting kerana dapat menghindarkan barisan kepimpinan ATM daripada terjerumus dalam amalan tidak sihat.
“Penghayatan ini diharapkan dapat meningkatkan imej Kementerian Pertahanan dan ATM dalam menyuburkan nilai integriti yang konsisten melalui kekuatan medium penghayatan Maqasid Syariah.
“Program seperti ini juga berperanan sebagai satu langkah tambahan kepada Polisi Antirasuah yang telah disediakan oleh Kementerian Pertahanan dalam usaha serius pihak kementerian untuk meningkatkan integriti, seterusnya memerangi jenayah rasuah dalam kalangan warga ATM,” katanya.
Untuk rekod, Kementerian Pertahanan adalah kementerian yang pertama menganjurkan program berbentuk townhall bagi pemahaman dan penghayatan tentang Maqasid Syariah. – MD