Beberapa penganalisis ekonomi menyambut baik cadangan kerajaan berkaitan pemberian insentif tambahan gaji antara RM700 hingga RM1,000 kepada graduan tempatan.
Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai berpendapat langkah itu akan mendorong lebih ramai graduan tempatan melakukan kerja di sektor 3D yang selama ini didominasi pekerja asing.
Katanya, langkah itu juga dapat mengukuhkan nilai mata wang dan menyelamatkan RM60 bilion disalur keluar negara setiap tahun oleh pekerja asing.
“Jadi dengan memberikan subsidi begini pekerja tempatan akan melihat bekerja dalam sektor 3D itu pun menarik dengan subsidi tambahan itu sudah cukup untuk menyara hidup.
“Kalau kita boleh elak bayar pekerja asing, kita dapat selamatkan RM60 bilion dan ini dapat tingkatkan rizab negara dan tingkat nilai mata wang kita,” katanya.
Semalam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan masih mengkaji cadangan memberi insentif tambahan kepada graduan tempatan yang baru menamatkan pengajian.
Sekiranya dilaksanakan, insentif itu akan diperikan kepada graduan yang baru selesai pengajian yang sudah mula bekerja.
Menurut Anggota Parlimen Langkawi itu langkah tersebut bagi menangani masalah lambakan pendatang asing yang bekerja ke negara ini dan sekali gus menjejaskan ekonomi negara.
Selain itu, Dr Mahathir berkata, pendapatan pekerja akan di belanjakan di Malaysia dan ini memperkayakan ekonomi negara.
Pada masa ini jumlah pekerja asing di negara ini mencecah 7 juta orang dan setiap tahun mereka membawa keluar pendapatan RM60 bilion balik ke negara asal mereka.
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Fakulti Ekonomi Unversiti Malaya (UM), Dr Zanariah Yusof berkata langkah itu wajar disegerakan kerana dilihat mampu memberi kesan positif kepada ekonomi negara.
Pada masa yang sama, cadangan itu juga dilihat mampu menyelesaikan masalah graduan yang dikatakan memilih kerja lantaran kadar gaji yang rendah.
“Jika adanya subsidi kerajaan dapat tingkatkan pendapatan graduan dan mereka hanya layak dapat subsidi jika bekerja. Ini satu dorongan kepada graduan.
“Apabila ramai graduan bekerja ia dapat menjana pendapatan dengan menggiatkan ekonomi negara,” katanya.
Bagaimanapun, Zarinah percaya isu itu tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor 3D.
Ini kerana katanya, graduan tempatan dikategorikan sebagai pekerja mahir memandangkan mereka mempunyai kelayakan akademik.
“Mahukah mereka ini bekerja di sektor-sektor lasak seperti di tapak pembinaan atau ladang pertanian yang panas terik berhujan sehingga memerlukan tenaga yang banyak.
“Mahukah graduan tempatan kita buat untuk menggantikan pekerja-pekerja asing itu,” soalnya.
Justeru, beliau berkata kerajaan wajar mencari strategi lain dalam menggalakkan lebih ramai graduan bekerja dalam sektor 3D.
“Kalau nak kurangkan kebergantungan, kena galak pekerja tempatan kerja di sektor ini,” katanya. – mkini