Rakyat Malaysia banyak rungutan selepas setahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tetapi kebanyakannya masih mahu memberi satu lagi penggal untuk kerajaan baharu itu, menurut dapatan kaji selidik online dijalankan oleh The Malaysian Insight.
Lebih separuh daripada 1,013 responden dalam kaji selidik itu tidak berpuas hati dengan pentadbiran PH berhubung beberapa isu termasuk pencapaian keseluruhan, kos sara hidup dan cara isu berkaitan agama dan kaum dikendalikan.
Tetapi, , 60.7% (615 responden) berkata mereka masih sanggup memberi satu lagi penggal untuk PH mentadbir kerajaan. Hanya 24.5% dan 14.8% berkata “tidak” dan “tidak tahu”.
Kaji selidik kuantitatif itu dijalankan sempena ulang tahun pertama PH dalam kuasa persekutuan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lalu.
Beberapa responden turut memberi penarafan tinggi bagi keseluruhan pencapaian kerajaan baharu. Pada skala satu (teruk) hingga 10 (cemerlang), hanya 32 (3.2%) dan 35 (3.2%) daripada 1,000 responden, memberi PH markah tinggi sembilan daripada 10.
Sejumlah besar responden (111 atau 11.1%) turut memberikan rating satu kepada kerajaan PH.
Berkenaan sama ada Kabinet memerlukan rombakan atau tidak, majoriti 69.5% (704 responden) menjawab “Ya”.
Lebih separuh responden – 52.3% (530) juga berpendapat PH menghabiskan masa membelasah pentadbiran lama atas salah laku mereka, berbanding fokus kepada mentadbir kerajaan secara efektif, sementara 39.5% tidak bersetuju dan 8.2% berkata tidak tahu.
Tentang sama ada perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak perlu dipercepatkan, 81.2% (823) bersetuju. Hanya 10.3% tidak setuju dan 8.5% tidak tahu.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendapat penarafan lebih baik berbanding pentadbirannya, dengan lebih ramai responden berkata mereka berpuas hati bila beliau yang mengetuainya.
Walaupun 105 responden memberinya rating satu (teruk), ada lebih ramai yang memberi penarafan lebih tinggi dengan 140 (13.8%) beri tujuh; 163 (16.1%) lapan; 113 (11.2%) sembilan; dan 117 (11.6%) 10.
Berkenaan pengganti Dr Mahathir, responden tidak positif terhadap rancangan penyerahan kuasa yang akan menyaksikan Presiden PKR Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan perdana menteri menjelang Mei 2020, mengikut tempoh dua tahun seperti dinyatakan sebelum ini.
Hanya 36.4% (369) berkata ya untuk Anwar mengambil alih daripada Dr Mahathir pada tarikh itu. Selebihnya 48.9% (495) tidak setuju sementara 14.7% berkata tidak tahu.
Berkenaan ekonomi, kebanyakan responden memberikan penarafan teruk kepada kerajaan PH.
Seramai 52.6% (533) tidak rasa ekonomi bertambah baik, berbanding 35.7% yang merasakan ada pembaikan dan 11.6% tidak tahu.
Ditanya secara khusus adakah mereka berpendapat PH melakukan kerja yang baik dalam membaiki ekonomi dan menguruskan kenaikan kos sara hidup, lebih ramai responden (48.5% atau 491) menjawab tidak, berbanding ya.
Diminta memberi kadar puas hati dengan ekonomi semasa, hanya 18 orang beri penarafan tinggi iaitu sembilan, dan 26 beri 10, berbanding 137 (13.6%) yang hanya beri markah satu.
Kebanyakan responden berada di tengah-tengah, dengan 178 (17.6%) dan 152 (15%) masing-masing beri markah antara lima dan enam.
Berkenaan pendapatan boleh guna, majoriti responden – 54.9% (556) menjawab mereka tidak ada wang lebih untuk dibelanjakan setiap bulan untuk barangan keperluan.
Bagi wang untuk dibelanjakan bagi hiburan dan kehendak 63.6% (644) berkata mereka tidak ada wang lebih.
Tentang sama ada inflasi diperbaiki di bawah pentadbiran PH 58.6% (594) kata tidak, sementara 26.5% menjawab ya dan 14.9% tidak tahu.
Majoriti – 53.4% (541) juga berkata masih sukar untuk mencari pekerjaan, berbanding hanya 16.5% kata lebih mudah. Baki 30.1% menjawab tidak tahu.
Responden juga ditanya tentang cara PH mengendalikan hubungan kaum dan agama, dengan majoriti – 67.4% (683) menjawab dengan negatif.
Hanya 25.6% berpendapat PH melakukan tugas yang baik dalam hal ini, sementara 7% tidak tahu.
PH juga menerima respons negatif tentang sama ada mereka melakukan yang terbaik untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak seperti termeterai dalam Perjanjian Malaysia 1963, dengan 41% berkata tidak berbanding 38.1% ya.
Sama juga, PH tidak melakukan secukupnya untuk melindungi Orang Asli dan menjaga kebajikan mereka (46.7%) berbanding 27.4% yang berkata cukup baik.
Responden juga ditanya tentang sama ada mereka berpendapat PH memperbaiki ciri keselamatan, dan lebih 43.8% (444) kata tidak, berbanding 41.3% menjawab ya.
Bagaimanapun, tidak semua buruk dan PH menerima pujian untuk ketelusan kerajaan lebih baik (65.3%); kebebasan bersuara dan media (74.8%); pengurusan sumber kerajaan (53.1%); pengangkutan awam (52.6%) dan melindungi alam sekitar (49.8%).
Kemenangan PH pada PRU14 tahun lalu sesuatu yang bersejarah untuk Malaysia, yang tidak pernah ditadbir parti lain selain Barisan Nasional.
Tetapi kegembiraan itu sampai ke penghujungnya bila pentadbiran itu gagal menunaikan beberapa janji pilihan rayanya, menyalahkan hutang RM1 trilion yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.
Pentadbiran PH juga terpaksa membuat pusingan U dalam beberapa isu susulan tekanan daripada kumpulan Melayu dan Islam, termasuk pembangkang Umno-PAS, yang menjejaskan hubungan kaum. – TMI