Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) kerugian RM12 juta ringgit dalam skandal gadaian emasnya, menurut satu dokumen sulit kerajaan mengenai perbelanjaan dana yayasan itu.
Dokumen tersebut antara lain menyebut Yapeim gagal membuat lelongan ke atas barang kemas yang tidak ditebus dalam projek gadaian Islam Ar-Rahnu bernilai hampir RM80 juta.
Barang kemas seberat lebih 300 kg itu didakwa gagal ditebus dari tahun 2012 hingga 2014 kerana ditangguhkan oleh pengurusan Yapeim, menurut laporan yang dilihat The Malaysian Insight.
“Disebabkan kegagalan melakukan jualan dan lelongan tersebut menyebabkan pihak Ar-Rahnu mengalami kemerosotan nilai emas sebanyak RM12 juta daripada harga sebenar pasaran,” laporan itu dipetik.
Sedangkan jika lelongan itu tidak dihalang, Ar-Rahnu dinyatakan tidak akan menghadapi kerugian kerana harga emas tidak pernah jatuh lebih 20% dalam tempoh 20 bulan tersebut.
Menurut dokumen berkenaan, ia ditangguhkan untuk menunggu nilai emas meningkat namun pada masa sama, sebahagian daripada barang kemas itu telahpun dicairkan tanpa kebenaran penggadai.
Perkara itu dibantah oleh pengerusi jawatankuasa syariah Yapeim waktu itu, Wan Zahidi Wan Teh yang menyebabkannya dipecat daripada jawatan berkenaan, menurut dokumen itu lagi.
“Pihak pengurusan Yapeim memaksa pihak pengurusan Ar-Rahnu untuk menjual semua 300kg barang kemas tersebut kepada Input Yapeim, sebuah anak syarikat milik penuh Yapeim untuk menutup kesilapan terbabit.
“Sehingga hari ini pihak Input masih gagal menjelaskan semua hutang harga jualan emas tersebut,” dokumen itu dipetik.
Kes tersebut didakwa melibatkan seramai 1,000 orang pelanggan yang diberitahu tiada baki lebihan daripada hasil lelongan sedangkan barang kemas tersebut tidak pernah dijual atau dilelong.
Pada masa sama, beberapa kilogram emas juga gagal dikesan ekoran beberapa transaksi meragukan, menurut dokumen itu lagi.
“Sehingga hari ini siasatan kepada perkara ini tidak diteruskan kerana ada campur tangan daripada pihak pengurusan Yapeim,” laporan itu dipetik.
Ia merupakan antara enam isu penyelewengan Yapeim yang sedang diteliti untuk diambil tindakan dalam proses penstrukturan semula yayasan itu.
Turut disiasat adalah bayaran yuran guaman pengarah menggunakan dana Yapeim dan juga bonus setinggi RM250,000 hingga RM400,00 kepada pengurusan kanannya.
Yapeim bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa yuran guaman berkenaan dibayar menggunakan dana amanah yang dikutip untuk anak yatim.
Menurut Yapeim, bayaran bonus lumayan kepada pegawai kanannya juga dibuat mengikut skim polisi perkhidmatan asalnya sejak lama dan tidak menggunakan dana amanah untuk anak yatim.
Yapeim diselia kerajaan bawah bidang kuasa seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang lazimnya seorang menteri hal ehwal agama Islam.
Yapeim diuruskan oleh seorang presiden, timbalan presiden dan lembaga pemegang amanah yang dilantik oleh menteri.
Ia tidak mendapat dana kerajaan tetapi menerima sumbangan derma amal jariah dan terlibat dalam pelbagai kegiatan ekonomi termaasuk mengendali pasar raya, dagangan emas dan harta tanah.
Sebahagian daripada keuntungannya digunakan untuk membiayai kegiatan kebajian. – TMI