Satu kumpulan mewakili waris mangsa yang terbunuh dalam rusuhan kaum 13 Mei, 1969 akan menghantar permohonan rasmi untuk menukar status dokumen berkaitan insiden berlaku 50 tahun lalu.
Langkah itu susulan pendedahan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin semalam bahawa kerajaan tidak menerima sebarang permohonan berbuat demikian berkenaan rusuhan itu, yang disifatkan sebagai detik terburuk dalam pasca kemerdekaan Malaysia.
Tan Chong Chin daripada jawatankuasa pemuliharaan tapak perkuburan dan peringatan 13 Mei berkata kumpulan itu akan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan draf permohonan rasmi untuk dihantar minggu ini.
“Kami berharap dengan kerajaan baharu, kebenaran akan akhirnya diketahui,” katanya yang juga bendahari jawatankuasa itu selepas bual bicara sempena 50 tahun insiden itu di Kuala Lumpur.
Sementara itu, ahli sejarah yang menulis buku tentang rusuhan itu, Dr Kua Kia Soong berkata kerajaan sepatutnya menukar status dokumen berkaitan bagi membantu rakyat Malaysia berdepan dengan insiden itu dan teruskan hidup.
Kua berkata majoriti kaum Cina, menafikan versi rasmi insiden itu bahawa hanya 196 mangsa yang terkorban.
Kua dijemput sebagai speaker pada bual bicara anjuran persatuan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor itu.
“Jika kita boleh tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang kubur besar Wang Kelian, makan kita patut ada satu RCI untuk mangsa dan keluarga yang hilang orang tersayang ketika 13 Mei,” kata Kua yang menulis buku bertajuk “May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969”.
“Jika kita lihat kubur mangsa 13 Mei (di Sungai Buloh), kedudukan batu nisan sangat pelik dan bagi saya, ia nampak seperti kubur besar. Mangsa berhak mendapatkan majlis pengebumian yang sempurna,” katanya yang juga penasihat kumpulan hak asasi manusia Suaram.
“Abang ipar saya pelajar perubatan dan membantu di Hospital Kuala Lumpur ketika insiden 13 Mei berlaku. Dia kata ada banyak mayat dihitamkan dengan tar supaya identiti kaum mereka tersembunyi.
Rusuhan itu menyaksikan keganasan berlaku antara Melayu dan Cina di ibu kota Kuala Lumpur dan tercetus selepas pilihan raya umum sehari sebelumnya di mana parti Perikatan kalah teruk.
Parlimen digantung dan darurat diisytiharkan di seluruh negara. Rusuhan itu juga menyaksikan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman meletak jawatan dan digantikan dengan Abdul Razak Hussein.
Dalam bukunya, Kua mencabar naratif rasmi kerajaan bahawa rusuhan itu tercetus daripada parti-parti politik meraikan kemenangan mereka dalam pilihan raya umum 12 Mei.
Menurut Kua, keganasan diadakan oleh “kebangkitan kelas kapitalis” yang mahu menggulingkan Tunku Abdul Rahman.
Kediaman menteri besar Selangor di Kampung Baru menjadi tempat perhimpunan bagi mereka yang mahu ikut serta. – TMI