KEHADIRAN Dr Hassan Ali, Exco Kerajaan Selangor dalam HIMPUNAN sejuta ummat di Stadium Shah Alam 22 Oktober lalu telah menjadi pertikaian panas dalam media.
Yang terjadi demikian ialah kerana partinya, PAS membuat keputusan tidak menyertai himpunan memprotes gejala murtad yang dianjurkan oleh beberapa NGO Islam.
Kerajaan Selangor yang dia adalah Exconya menyatakan tidak terlibat lalu menyerahkan kepada rakyat sama ada menyertainya atau berkecuali.
Lalu tiada mana-mana pemimpin PAS menjenguk ke stadium itu kecualilah Dr. Hassan. Demikian juga tidak diketahui mana-mana pimpinan kerajaan negeri hadir kecuali Dr. Hassan.
Dr. Hassan adalah pakar motivasi yang ulung. Sebelum bidang motivasi itu dikenali umum, maka Dr. Hassan sudah terjun ke situ. Ada dipercayai puluh ribu orang mendapat manfaat didikan dan latihan minda dari khidmatnya itu. Tidak terhingga bilangan orang yang telah terbuka mindanya setelah mendapat asuhan daripada kursus motivasi yang dianjurnya.
Jika sekalin yang kurang terbuka minda dari khidmatnya, maka tentulah sebagai pemecah kebekuan minda semua orang, lebih terbuka mindanya dari semua orang.
Tiada sebarang kesalahannya kepada partinya dan kerajaan yang didukungnya dengan kehadirannya itu. Partinya membuat keputusan tidak serta kerana menghormati penganjur tidak mahu ada penglibatan politik dalam himpunan itu, tetapi parti itu tidak melarang sesiapa menyertainya.
Jika pemimpinnya seperti Dato’ Dr. Haron Din, atau Mohamad Sabu atau Mustafa Ali hendak pergi, maka mereka boleh pergi, bukan mewakili parti, tetapi atas nama diri sendiri. Bagaimana pun mereka menggunakan kelonggaran yang diberi oleh partinya.
Yang diketahui pergi Dr. Hassan. Tidaklah dia salah apabila dia menggunakan kelonggaran yang ada itu.
Kerajaan Negeri Selangor juga tidak melarang mana Exco dan kaki tangan kerajaan seperti Setiausaha Kerajaan Negeri atau Penasihat Undang-Undang. Mereka boleh pergi dan boleh tidak pergi. Maka tiada exco yang dilihat kecuali Dr. Hassan. Kerana tidak larangan dari kerajaan, tiadalah salah bagi Dr. Hassan.
Dr. Hassan adalah pakar motivasi, pemecah segala fikiran yang buntu, pembuka saluran kepada pemikiran yang sempit. Jika dia boleh selesaikan semua masalah orang yang tersimpul, maka tentulah dia amat tahu apa yang dibuatnya.
Justeru itu kehadiran Dr. Hassan ke himpunan tidak wajar menjadi topik polemik mana-mana pihak kerana tindakannya tidak bercanggah dengan mana undang-undang dan prinsip demokrasi.
Partinya dan kerajaannya juga tidak membuat peraturan yang melarangnya hadir di majlis itu.
Hassan memiliki kelebihan dan keistimewaan dari lain-lain orang politik termasuk Dr. Mahathir. Orang lain payah pisahkan politiknya bila menyertai mana-mana kegiatan yang bebas politik. Kalau Dr. Mahathir dan isteri singgah ke mana-mana gerai di pasar malam atau Najib jenguk pondok India miskin, tanpa sebarang motif politik, tetapi orang kata adalah politiknya.
Kalau Tok Guru Nik Aziz singgah sembahayang sunat di mana-mana surau, lalu orang surau melihatnya minta beliau bagi sedikit tazkirah. Tetapi ia katakan berpolitik juga.
Payah bagi mereka hendak menyangkutkan baju politik di luar dinding.
Tetapi Dr. Hassan boleh sangkut jeket politik di luar pagar stadium untuk menyertai protes anti murtad itu dan tidak sesiapa melihat dia membawa sebarang makna politik.
Orang yang hadir tidak terasa dia orang politik dan yang tidak pergi yang melihat gambar hadir juga tidak terasa dia orang politik. Mungkin orang lebih melihatnya sebagai pakar mativasi.
Dalam polemik kehadirannya itu dia telah menyatakan pendiriannya tentang mengapa dia hadir walau pun partinya membuat keputusan tidak hadir. Kenyataannya itu langsung tidak berbau politik dan tiada sebarang kesan politik. Dia sangat berjaya membebaskan diri dari ikatan politik. Itulah agaknya dia jadi orang politik pembangkang yang sangat disenangi oleh Prof. Zainal Kling.
Saya teringat mula-mula Dr. Hassan Ali mula-mula menyertai PAS. Tak sampai beberapa tahun dia hendak bertanding Naib Presiden. Dia tanya pandangan saya.
Kata saya, ‘Masuklah! Tiada undang-undang yang melarang dan demokrasi dalam PAS tidak menyekat.’
Dia menang. Dia kata pada saya, ‘Orang cepat naik, cepat juga turun…!’
Saya gelak saja. Apa yang dia kata itu, macam dia meramalkan dirinya. -HD
Ulasan GB
Membaca tajuk dan beberapa perenggan pertama, GB semacam tak percaya tulisan di atas adalah dari seorang penulis yang GB amat kenal iaitu Sdra. Subky Latif. Walaupun Subky tak pernah kenal siapa GB walaupun GB pernah sekali-sekala menggantikan tempatnya sebagai penulis tamu di WATAN puluhan tahun dahulu.
Sebagai seorang yang tidak sekadar membaca yang tersurat, GB mencari apa yang tersirat di sebalik tulisan seorang penulis veteran dan bekas Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan di atas dan akhirnya GB dapat tersenyum juga.
Pertama, satu sindirin yang kemas dan tajam di perenggan ini:
Kalau Tok Guru Nik Aziz singgah sembahayang sunat di mana-mana surau, lalu orang surau melihatnya minta beliau bagi sedikit tazkirah. Tetapi ia katakan berpolitik juga.
Payah bagi mereka hendak menyangkutkan baju politik di luar dinding.
Tetapi Dr. Hassan boleh sangkut jeket politik di luar pagar stadium untuk menyertai protes anti murtad itu dan tidak sesiapa melihat dia membawa sebarang makna politik.
Tinggi ya mertabat Hassan Ali berbanding dengan TG Nik Aziz!
Kedua, entah kesilapan menaip oleh beliau atau editor harakahdaily tak perasan.. di perenggan ini ada semacam lelucon terselit:
Orang yang hadir tidak terasa dia orang politik dan yang tidak pergi yang melihat gambar hadir juga tidak terasa dia orang politik. Mungkin orang lebih melihatnya sebagai pakar mativasi.
Kemungkinan ia typo, tetapi hakikatnya, itulah yang tertulis di harakahdaily. Kalau ia typo, maka Allah s.w.t. jua yang menyebabkan penulis atau jurutaipnya disilap sebegitu.
Ketiga, ayat penulis veteran ini penuh makna dan sinis. Al-maklum penulis veteran, yang pernah menulis teks ucapan perbahasan Ahli Parlimen tunggal PAS satu ketika dulu, Nik Abdullah Arshad, ayahanda kepada Nik Amar yang sekarang ini ahli exco PAS Kelantan. Perhatikan perenggan ini:
Dia sangat berjaya membebaskan diri dari ikatan politik. Itulah agaknya dia jadi orang politik pembangkang yang sangat disenangi oleh Prof. Zainal Kling.
Masing-masing terutama ahli PAS kenal siapa dan apa “fikrah” Prof Zainal Kling. Ramai menggelarkan Prof itu sebagai professor kangkung, walaupun GB tidaklah sampai mengelar orang ke tahap itu. Sebab GB sentiasa bertemu dengan orang-orang yang dicapkan sebagai professor kangkung ini. Kebanyakan yang menjadi kangkung ini kerana kedudukan kerana pangkat kerana belum dapat hidayah.
Dan apabila Subky menyatakan Dr. Hassan Ali dikatakan disenangi oleh Prof Zainal Kling, maka fahamilah kita apa yang hendak disampaikan oleh Subky.
Sekangkungkah mereka berdua?
Keeempat di beberapa perenggan terakhir GB semakin senyum lebar.
Saya teringat mula-mula Dr. Hassan Ali mula-mula menyertai PAS. Tak sampai beberapa tahun dia hendak bertanding Naib Presiden. Dia tanya pandangan saya.
Kata saya, ‘Masuklah! Tiada undang-undang yang melarang dan demokrasi dalam PAS tidak menyekat.’
Dia menang. Dia kata pada saya, ‘Orang cepat naik, cepat juga turun…!’
Saya gelak saja. Apa yang dia kata itu, macam dia meramalkan dirinya.
Sekalipun usia Subky sudah agak lanjut, namun pena beliau masih tajam lagi rupa-rupaya.
Dan GB yakin Subky bukan jenis orang yang “berkecuali” kerana beliau tidak pernah bersetuju dengan sebarang “dasar berkecuali”. Seingat GB, di dalam satu forum dengan Tan Sri Ainuddin bin Abdul Wahid (bekas Naib Canselor UTM) mengenai dasar berkecuali Malaysia, Subky menyatakan bahawa dasar berkecuali ialah dasar orang yang tak tahu nak buat apa-apa!
Begitu juga dengan kes Dr. Hassan Ali, Subky sepastinya tidak berkecuali sekalipun tajuknya menyatakan isu Hasan Ali tak perlu dipolemikkan kerana, orang awam dah tahu tentangnya, jadi buat apa berpolemik lagi?: cepat naik cepat turunnya, tak begitu? Bukankah itu hukum kebenaran?
Hanya jauhari yang mengenal mutu manikam. Hanya jauhari dapat melihat pena Subky yang semakin tajam.