Sejak sedekad lalu skor Indeks Persepsi Rasuah yang rendah telah menyebabkan para
pelabur asing semakin kurang berminat untuk menanam modal di Malaysia. Mengikut laporan Tranperancy International 2010 Malaysia masih kekal berada di kedudukan tidak memuaskan di tangga ke-56 seperti tahun sebelumnya namun dari segi skor mata telah menurun 0.1 mata dari 4.5 ke 4.4.
Ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching menganggap fenomena kemerosotan negara dalam indeks tersebut adalah akibat tidak seriusnya pihak berkuasa menangani masalah rasuah.
"Ini menunjukkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) gagal melakukan tugasnya dengan baik. Membenteras gejala rasuah adalah salah satu perkara yang patut dilakukan oleh Kerajaan Pusat dan ia telah disenaraikan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Penurunan skor dari 4.5 ke 4.4 menunjukkan bahawa sasaran untuk memperolehi peningkatan skor ke 4.9 mata telah gagal dicapai bagi tahun 2010.
"Ini menunjukkan usaha yang dibuat oleh Kerajaan untuk membenteras gejala rasuah adalah usaha yang tidak ikhlas. Dalam tahun ini SPRM telah menggaji lebih ramai kakitangan Cina tetapi saya berpikir bahawa lebih ramai kakitangan Cina atau tidak bukanlah isu yang utama. Keberkesanan SPRM bukan bergantung kepada komposisi etnik kakitangannya walaupun saya amat menghargai langkah mereka untuk menggaji lebih ramai kakitangan dari kaum Cina.
"Jika SPRM tidak berkesan dalam usahanya untuk menangani gejala rasuah, maka mengambil lebih ramai kakitangan dari kaum Cina adalah satu latihan 'public relations' yang sia-sia sahaja," katanya.
Mengulas mengenai perkara yang sama Drs Khalil Idham Lim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong menjelaskan sistem pendakwaan rasuah yang rumit di Malaysia menjadi punca ia kurang berkesan ditangani.
"Sistem pendakwaan SPRM mesti melalui Jabatan Peguam Negara. Banyak fail yang tidak didakwa atau tidak ada tindakan diambil ke atasnya langsung.
"Orang-orang politik dari parti pemerintah berpangkat atasan tidak pernah didakwa, contohnya seorang dari parti pemerintah yang dilaporkan mempunyai rumah sebesar istana kayangan.
Ahli-ahli Pakatan Rakyat telah membuat banyak aduan mengenai penyelewengan yang dibuat oleh orang ternama dari parti pemerintah itu tetapi tidak ada tindakan diambil ke atas mereka. Begitu juga dalam pilihan raya budaya memberi habuan dan sogokan diutamakan oleh mereka untuk menang," ujarnya.