Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) boleh digabungkan dengan program matrikulasi sebagai sebahagian daripada langkah menyamakan kemasukan ke universiti, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Beliau berkata, kementerian dalam proses mengkaji cadangan berkenaan yang dikemukakan kepadanya oleh Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan How yang juga Adun Pasir Pinji.
“Saya terbuka dengan cadangan untuk meningkatkan kualiti sistem pendidikan. Cadangan Howard adalah idea konkrit dan semuanya akan dikaji oleh kementerian.
“Ini termasuk penggabungan peperiksaan, sukatan pelajaran dan penggredan antara STPM dan matrikulasi yang akan dilaksanakan pada 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Maszlee berkata, Lee telah bertemu dengannya beberapa minggu lalu dan mereka membincangkan cara untuk mengatasi ketidaksamaan dalam kemasukan ke universiti di antara program STPM dan matrikulasi.
Program matrikulasi menjadi topik hangat di Malaysia kerana ia memberi manfaat kepada sebilangan besar pelajar Bumiputera dan pelajar kaum lain mengatakan mereka berdepan kesulitan memasuki universiti tempatan walaupun mendapat keputusan baik.
Maszlee baru-baru ini dikecam kerana mempertahankan kuota kaum dalam program kemasukan ke matrikulasi dengan membandingkannya dengan keperluan bahasa Mandarin oleh beberapa majikan dalam sektor swasta.
Lee telah meminta Maszlee untuk menarik semula kenyataannya itu.
Maszlee berkata, kementerian sedang mengkaji cadangan lain Lee untuk menyamakan kemasukan universiti awam termasuk menempah 2,000 tempat di universiti awam untuk 2,000 lepasan STPM berdasarkan CGPA tanpa mengira kaum.
Langkah lain melibatkan cadangan menyerap 15,00 tempat dalam program asas universiti awam sebagai sebahagian daripada programm matrikulasi dan semakan semula penggredan untuk aktiviti kokurikulum di bawah matrikulasi untuk mempunyai nilai merit sama seperti STPM. – TMI