Menuju pilihan raya negeri Sarawak pada 2021, PKR hari ini menamakan pengerusi negeri, Baru Bian untuk mengetuai jentera pilihan rayanya, dengan dibantu pasukan daripada pimpinan pusat, iaitu Setiausaha Agung Saifuddin Nasution, Naib Presiden Tian Chua, Xavier Jayakumar dan Ali Biju.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata pasukan itu akan mula bertugas secepat mungkin, untuk merangka strategi dan berunding dengan parti-parti komponen lain.
“Mereka akan mempersiapkan jentera yang boleh memberikan landasan berkesan menghadapi pilihan raya negeri,” katanya selepas mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR.
Sementara itu, Anwar berkata Pemuda PKR ditegur kerana menganjurkan program Ramadan seperti acara pesta, dan berkata pimpinan juga membincangkan dakwaan gangguan seksual terhadap Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.
Anwar memohon maaf atas acara Pemuda PKR itu dan berkata, sayap Pemuda ditegur supaya menghormati Ramadan dan tidak menjalankan kegiatan yang menyimpang daripada tradisi budaya Islam.
Beliau berkata ketua Pemuda PKR menjelaskan acara itu diselenggarakan timbalannya dan meminta sayap itu memperbaiki kelemahan itu, katanya tanpa memberikan butiran.
Sementara itu, Anwar berkata parti menunggu hasil siasatan polis ke atas dakwaan terhadap Kesavan sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kita juga bincang tentang kedudukan Kesavan dan kita mengambil serius perkara ini,” katanya.
Minggu lalu, seorang wanita, mendakwa dirinya pernah berkhidmat dengan wakil rakyat itu, membuat laporan polis terhadap Kesavan.
Kesavan menafikan dakwaan wanita itu dan membuat laporan polis terhadapnya. – FMT