Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad menafikan laporan yang mengatakan tiada lagi sesi pendengaran awam sesuatu projek di bawah Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 dan 2040 selepas diluluskan.
Beliau berkata laporan awal Bernama berhubung perkara itu mengelirukan dan tersasar dari apa yang disampaikan dalam sidang media petang semalam.
Katanya, apa yang ingin disampaikan adalah perbezaan prosedur antara keadaan apabila adanya pelan yang digezet dan keadaan semasa tiada pelan yang digezet.
“Apabila selesai pendengaran awam, pelan KL 2020-2040 dijangka akan digezetkan pada penghujung 2020 nanti.
“Ketika itu apa-apa pembangunan yang hendak dibuat di Kuala Lumpur, yang bertepatan dengan pelan itu, tidak perlu lagi sesi pendengaran awam dibuat.
“Ini kerana, pendengaran awam telah dibuat sebelum pelan itu digezetkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini Khalid dilaporkan berkata sebarang projek yang diluluskan di bawah Pelan KL 2020 dan 2040 tidak lagi mengguna pakai Kaedah 5 Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982.
Berikutan itu, katanya, tiada lagi sesi pendengaran awam oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju yang akan membentangkan Laporan Kajian Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA) kepada penduduk selepas sesuatu projek pembangunan diluluskan.
Mengulas lanjut, Khalid berkata pendengaran awam perlu dibuat jika pembangunan yang hendak dibuat itu bertentangan dengan pelan yang digezetkan.
“Semasa pendengaran awam ini, TIA dan SIA wajib dibentangkan kerana ingin mengubah apa yang telah digezetkan.
“Untuk kes Pelan KL 2020 yang telah digezetkan pada Oktober 2018, ia adalah kes yang berbeza kerana pendengaran awam diadakan pada 2012 tetapi ianya tidak digezetkan selepas itu.” – FMT