Perang dagangan yang semakin hebat antara dua kuasa besar, Amerika Syarikat (AS) dan China telah menjejaskan ekonomi sedunia dan rantau ASEAN tidak terkecuali menerima akibat buruk daripada perang itu
Begitu juga keadaan ekonomi negara yang belum pulih sepenuhnya berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad, menerima kesan besar daripada perang ini kerana China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia.
Bagi Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang, rakyat tidak boleh menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kononnya lemah sehingga nilai ringgit merudum atau merosotnya eksport.
Katanya, perang dagang itu di luar kemampuan Malaysia untuk menyelesaikannya. Namun tetap terdapat impak positif di sebalik perang berkenaan berikutan keupayaan Malaysia menjadi negara ketiga mengeluarkan produk daripada syarikat China mahu pun AS.
“Justeru itu, nilai matawang kita kini merosot dan sekarang nilainya di pasaran pertukaran wang asing di sekitar RM4.20 untuk 1 Dolar Amerika Syarikat.
“Oleh kerana matawang dagangan antarabangsa ialah Dolar Amerika maka barangan ekspot kita telah menjadi murah dan dengan penambahan barangan ekspot, kita boleh menikmati keuntungan tersebut apabila pendapatan negara bertambah. Sebaliknya kita perlu kurang meingimpot kerana barangan impot telah menjadi mahal.
“Seperti yang Perdana Menteri Tun Mahathir kata beberapa hari yang lalu, kita mesti menggiatkan usaha menggalakkan lebih ramai pelabur asing datang ke Malaysia sebab wang pelaburan itu boleh membantu merangsangkan ekonomi negara,” katanya kepada Suara Paktan Daily.
Lih Kang bagaimanapun berharap bahawa cabaran ekonomi yang sedang dihadapi oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan melemahkan sokongan rakyat untuk PH.
“Kerajaan PH sedang cuba sedaya-upaya untuk menurunkan harga barang dan kos sara hidup dalam iklim ribut ekonomi yang sedang melanda kita sekarang ini. Cabaran terkini bukanlah satu perkara yang mudah diatasi.
“Saya tahu rakyat terutamanya warga miskin semakin gelisah mengenai kos hidup dan saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan PH sedang bertungkus-lumus meningkatkan usaha untuk membantu semua golongan rakyat yang memerlukan bantuan.
“Pada masa yang sama saya ingin menggesa rakyat supaya terus bersabar dan memberi keyakinan kepada usaha kami untuk melakukan yang terbaik,” tambah Lih Kang.