Data terbaharu yang dikumpul oleh pemerhati politik dan sumber-sumber dalaman parti politik tertentu menjangkakan Pakatan Rakyat (PR) menghadapi laluan sukar dalam meraih sokongan kaum Melayu menjelang pilihanraya ke-13.
Tidak seperti 2008, Umno ketika itu benar-benar telah dilemahkan dengan isu-isu besar beberapa bulan terakhir sebelum pilihanraya; demonstrasi Bersih 1, Pak Lah kurniakan kontrak dan tender kepada anak-menantu serta isu VK Lingam campurtangan dalam perlantikan hakim yang tidak berjaya diselesaikan oleh pentadbiran PM tua itu. Hal itu menyebabkan tumpuan semua kaum termasuk Melayu berpaling kepada Anwar dan perjuangan yang didukung bersama rakan-rakannya. Malah di internet, gambar Pak Lah digabungkan dengan imej pelawak dungu Mr Bean lewat filem A Trip Mr Bean yang hangat di pawagam ketika itu.
Situasi berubah
Situasi hari ini amat berbeza. Serangan ke atas Najib dan isterinya Rosmah tidak begitu berjaya biar pun memiliki isu yang kuat. Pembaziran Rosmah mengumpul beg tangan berharga jutaan ringgit dan cincin berlian jutaan ringgit masih belum benar-benar meyakinkan pengundi untuk terus setia bersama PR atau menarik pengundi baru menyokong gabungan itu.
Banyak yang menyoal, Anwar telah pun diberi kuasa tetapi suasana politik negara tidak banyak berubah, begitu juga kehidupan rakyat. Terutama, soalan seperti itu datangnya dari kaum Melayu luar bandar. Dalam kajian terbaharu, sokongan wanita Melayu terhadap PR berada pada tahap paling lemah sejak 2008, di bawah 30 peratus. Mengikut daftar pengundi, wanita adalah pengundi majoriti di negara ini, melebihi 50 peratus. Maka kemerosotan sokongan mereka akan menyebabkan PR berdepan malapetaka paling dahsyat jika tidak bertindak segera memperbaiki situasi
Jelas Umno amat berhasil memperbodohkan bangsa Melayu yang selama 400 tahun dibodohkan penjajah. Bangsa Cina berhujah lebih matang. Tidak mungkin wujud perubahan politik yang signifikan ketika BN menindas PR dengan pelbagai cara. Media BN mencaci PR dan cuba menimbulkan kerusuhan kaum. Cuba menimbulkan ketakutan dan kadang-kala cuba menjadikan penyokong kerajaan samseng yang sanggup ‘membunuh’ penyokong PR.
Mana mungkin seorang Anwar mampu membawa perubahan dalam keadaan seperti itu. Juga tidak mungkin parti-parti dalam PR boleh melakukan banyak perkara untuk kebaikan rakyat dalam suasana setiap perbuatan baik dimusuhi dan didendami.
Bagi kaum Cina, sekadar yang dilakukan oleh PR di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan adalah yang terbaik dalam tekanan politik melampau. Tetapi tidak sama dengan fikiran orang Melayu yang kurang ilmu pengetahun. Mereka mahukan lebih daripada itu.
Utamakan Melayu
Maka, wujud keperluan PR menyesuaikan perjuangan mereka mengikut pemahaman politik kaum Melayu bagi menjamin negeri yang dimenangi dalam pilihanraya lalu kekal. Kaum Melayu asabiyah dan mementingkan perkauman. Oleh itu dalam beberapa bulan sebelum pilihanraya ini, ada baiknya PR memberi sedikit keutamaan kepada mereka. Polisi sama rata memang berfaedah menambah sokongan Cina dan India, namun sokongan Melayu lebih besar kerana nisbah undi mereka lebih besar.
Pemberian tanah misalnya, di kampung-kampung dilihat banyak menguntungkan kaum Cina di kampung-kampung baru. Ada keperluan orang Melayu diberi lebih banyak peluang memohon tanah. Begitu juga tabung dan insentif perniagaan. Kaum Melayu kurang meminta dana. Kerajaan PR perlu berusaha lebih keras menarik seramai mungkin Melayu dalam program perniagaan atau bantuan berkenaan
Begitu juga kaum Melayu di pendalaman. Cara Umno memancing mereka melalui bantuan bulanan merupakan faktor utama menyebabkan Melayu menjadi deposit tetap parti itu. PR pula mahukan rakyat produktif dan tidak terlalu bergantung kepada wang bantuan. Namun untuk sepenggal memerintah tidak mungkin semua perkara tersebut mampu diubah. Sehingga kini, strategi bergayut kepada kerajaan adalah yang terbaik. Jadi, PR perlu menyesuaikan pendekatan politiknya dengan cara memberi bantuan kepada golongan Melayu yang memerlukan ini.
Sekiranya PR tidak mengubah strategi dalam masa terdekat dan dilihat tidak bersungguh-sungguh mendekati Melayu maka kesannya amat buruk dalam pilihanraya yang dijangka tidak lagi disokong oleh isu-isu besar seperti 2008.
Terbukti juga di negeri-negeri yang dimenangi PR, kawasan kubu kuat Umno di kawasan dominasi Melayu masih gagal ditembusi setelah 3 tahun PR memerintah. Hal itu menunjukkan Melayu mahukan hak mereka di atas berbanding kaum lain. Mereka lebih selesa menyokong Umno dan Perkasa yang memperjuangkan Ketuanan Melayu
Oleh yang demikian, untuk survival, PR juga perlu bertindak seperti BN dalam masa terdekat ini. Toleran menghadapi semangat perkauman Melayu dan berikanlah hadiah yang berpatutan untuk meraih undi mereka. Untuk mengubah minda kaum itu, adalah tugas PR selepas menang penggal seterusnya nanti.
Toleransi ini bukanlah mengkhianati perjuangan tetapi adalah strategi semasa berdasarkan real politik. Tidak ada makna PR bertegas dengan prinsip tetapi kalah pilihanraya dan menjadi pembangkang semula. Seterusnya, untuk seratus tahun lagi pun rakyat Malaysia tidak akan berubah.
Bertegas dengan pegangan agama menyebabkan seseorang masuk syurga. Tetapi bertegas dengan prinsip politik adalah tindakan bunuh diri paling bodoh.