Sokongan padu yang diterjemahkan oleh perantau menerusi undi sehingga Pas mendapat kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu seolah-olah dikhianati apabila masalah bekalan air di negeri ini khususnya ketika musim perayaan masih tidak dapat diselesaikan.
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Pasir Mas, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan berkata, kerajaan negeri perlu menyalahkan diri sendiri di sebalik kegagalan tersebut dan henti menuding jari.
Menurutnya, masalah bekalan air bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah berlarutan lebih dua dekad.
“Bila gagal selesaikan isu ini, ia seolah-olah mengkhianati perantau yang telah memberikan sokongan penuh kepada Pas untuk mentadbir negeri ini.
“Sepatutnya, kerajaan negeri perlu membalas balik kepercayaan itu dengan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat Kelantan,” katanya di sini hari ini.
Beberapa kawasan di negeri ini mengalami gangguan bekalan air yang kronik sehingga mengundang keresahan dalam kalangan penduduk menyambut Aidilfitri.
Muhammad Amiin memberitahu, rakyat Kelantan sudah lama menderita setiap kali berdepan dengan masalah air.
Katanya, bekalan yang sering terputus, kuning, berkeladak dan tekanan rendah sudah menjadi sebahagian daripada darah daging rakyat Kelantan.
“Hentilah bercakap soal politik, carilah jalan terbaik untuk atasi masalah ini,” ujarnya. – Utusan