Siri video lucah menyasarkan Azmin Ali dibuat oleh pihak yang mempunyai agenda politik tertentu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata beliau percaya video menyasarkan menterinya itu bukan rakaman tulen dan menyifatkannya sebagai serangan kotor oleh pihak yang tidak mampu bersaing.
Malah tidak hairan jika beliau sendiri menjadi sasaran serangan seperti itu kelak, kata ahli Parlimen Langkawi itu.
“Perkara ini dibuat oleh mereka yang mempunyai agenda politik. Saya tidak rasa ia tulen.
“Kita boleh buat video dan gambar seperti ini jika cukup bijak. Suatu hari mungkin kamu akan lihat gambar saya seperti itu,” katanya.
Menurutnya, pengakuan oleh individu yang mendakwa dirakam melakukan seks sejenis dalam video tersebut juga menunjukkan serangan itu dibuat dengan perancangan tersusun.
“Pengakuan budak itu dirancang. Kalau tidak takkan dia hendak mengaku.
“Biasanya orang yang (terlibat) itu pun malu juga. Ini tak malu kata ‘sayalah buat, saya buat dengan menteri’. Apa tujuan?” soalnya.
Belia berkata serangan politik kotor seperti itu perlu dihentikan dengan segera dan percaya ia berkait dengan pertembungan kuasa politik di negara ini.
“Kalau tak boleh lawan dengan orang, jangan la buat kerja macam itu. Saya tak tahu siapa buat tetapi cara macam ini tak patut ada lagi dalam Malaysia. Kotor sangat lah,” ujarnya.
Dr Mahathir bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Malam Sejuta Kenangan di Setia City Convention Centre, Shah Alam, malam tadi.
Susulan penularan video tersebut, seorang setiausaha sulit kanan seorang menteri, Haziq Abdul Aziz, semalam mengaku sebagai salah seorang lelaki dalam rakaman tersebut.
Beliau juga mendakwa salah seorang lagi pelaku adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, yang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.
Azmin semalam berkata tuduhan itu usaha kejam dan berniat jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Video berkenaan pada awalnya dikesan tersebar pada hari Selasa melalui beberapa kumpulan sembang dalam aplikasi WhatsApp.
Seterusnya semalam, beberapa lagi kumpulan sembang WhatsApp dikesan dibentuk untuk menyebarkan beberapa lagi video seks sejenis. TMI