Tindakan MCA pada 9 Jun lalu melancarkan jawatankuasa yang terdiri daripada 300 golongan profesional untuk memantau prestasi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam pelbagai sektor dianggap hipokrit.
Menurut Ng Suee Lim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, MCA sepatutnya telah menubuhkan unit pemantau itu ketika mereka masih menjadi kerajaan agar tidak hilang sokongan daripada kalangan pengundi Cina.
“Sekarang MCA mahu mengambil peranan memantau. Manakah suara mereka ketika skandal 1MDB sedang memuncak di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Najib Razak? Mengapa mereka diam membisu masa itu?”
“Kini apa yang kita lihat, parti-parti dalam koalisi BN mengkritik Kerajaan PH dalam semua hal hanya semata-mata untuk mengkritik sahaja. Ada juga puak-puak dalam BN yang memainkan sentimen perkauman untuk meraih sokongan masyarakat mereka.
“Tetapi walau macam mana pun, pihak pembangkang sehingga sekarang telah gagal memberi cadangan dalam bentuk idea ataupun kritikan bernas untuk memajukan negara.
“Pihak pembangkang sebenarnya amat lembab prestasi mereka jika hendak dibandingkan dengan prestasi PH semasa PH menjadi pembangkang,” kata Suee Lim kepada Suara Pakatan Daily.
Beliau seterusnya berpendapat, walaupun ada janji-janji manifesto Kerajaan PH yang masih belum ditunaikan, banyak juga yang telah dilakukan oleh Kerajaan PH.
Misalnya urus-tadbir dan kewibawaan Jabatan Kehakiman, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta banyak agensi kerajaan telah bertambah baik dan prestasi juga telah meningkat.
Justeru itu, kata Suee Lim, walaupun ia mengambil masa Kerajaan PH berada di landasan yang betul dan keadaan akan bertambah baik dalam bulan-bulan yang akan datang