Rakyat tidak seharusnya terlalu terkejut berikutan penularan siri video lucah terbaharu melibatkan Menteri Hal-Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali yang heboh diperkatakan sekarang ini.
Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran berkata, fitnah menggunakan video seks pernah berlaku terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2011 lalu. Namun dengan berjalannya waktu kebenaran terserlah bahawa video itu dilakonkan oleh individu dari Selatan Thailand yang mirip wajah Anwar.
Katanya, pembuatan video lucah mungkin salah satu cara musuh politik Pakatan harapan (PH) untuk menghuru-harakan kerajaan dan berharap PKR berpecah atau pun kerajaan runtuh.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ada ramai musuh. Justeru, tidak hairanlah ada ramai pihak yang mahu jatuhkan Kerajaan PH. Serangan terhadap Azmin Ali adalah sebahagian dari usaha musuh-musuh PH untuk menjatuhkan kerajaan baru ini yang termasuk juga usaha untuk memberi gambaran kepada umum bahawa Kerajaan PH tidak stabil dan tidak bermoral,” katanya kepada Suara Pakatan Daily
Beliau berpendapat masih terdapat terlalu ramai orang yang tidak puas hati kerana kalah dalam pilihan raya umum yang lalu dan mereka ini akan menggiatkan usaha menumbangkan Kerajaan PH.
“Oleh itu, PH mesti sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada. Siasatan dan tindakan patut diambil terhadap sesiapa yang mensabotajkan kerajaan. Rakyat perlu sokong Kerajaan PH dalam menghadapi semua cabaran dalam masa yang sukar ini.
“Sejak kemenangan PH pada 9 Mei tahun lalu, musuh-musuh PH tidak pernah berhenti dalam usaha mereka menyerang dari pelbagai sudut. Dari segi isu perkauman hinggalah kepada isu ekonomi, serangan terhadap PH tidak pernah reda.
“Dengan serangan yang bertubi-tubi, bukanlah mudah untuk Kerajaan PH memberi tumpuan yang penuh kepada urusan pentadbiran,” ujar Manogaran.
Beliau menambah bahawa politik kotor jika berterusan maka Malaysia akan menghadapi kesukaran bersaing di pentas antarabangsa sebab terlalu banyak masa akan dihabiskan menangani masalah politik.
“Tetapi kalau rakyat memberi sokongan padu kepada kerajaan PH, semua cabaran akan dapat diatasi dan inilah yang saya harap dan doakan,” tambah Manogaran.