Pihak yang bertanggungjawab dalam penyebaran video dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dibiayai lumayan dan terancang, kata Fahmi Fadzil.
“Kumpulan WhatsApp ini bukan hanya terdiri daripada orang PKR, tetapi juga ahli media daripada semua bahasa,” kata pengarah komunikasi PKR dalam laporan Malaysiakini.
“Ia menunjukkan mereka mempunyai akses kepada pangkalan data. Mereka tahu siapa yang hendak dimasukkan, mengendalikan kumpulan ini dengan niat tertentu untuk menunjukkan kepada media seolah-olah ini merupakan masalah dalaman PKR,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Empat siri video didakwa memaparkan Azmin, tersebar melalui kumpulan WhatsApp sejak Selasa.
Fahmi berkata penyebaran video itu jelas bermotifkan politik tetapi tidak pasti sama ada ia palsu atau sebaliknya.
Dalam video pertama, beberapa kumpulan dengan nama “Jemputan Hari Raya Azmin” diwujudkan pada 11 Jun dan kemudian disertai para wartawan dan ahli politik sebelum video disebarkan.
Kumpulan kedua foto dan video yang dihantar ke kumpulan WhatsApp bernama “Azmin Ali Part 2/4” pada hari berikutnya kepada kumpulan wartawan dan ahli politik yang sama.
Kemudian, setiausaha sulit kepada timbalan menteri industri utama, Haziq Abdullah Abdul Aziz, “mengakui” beliau adalah salah seorang lelaki dalam video itu.
Haziq berkata perbuatan itu berlaku di Sandakan semasa pilihan raya kecil dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat perkara itu. – TMI