Keengganan Pakatan Harapan (PH) untuk menggunakan dana kerajaan bagi operasi unit medianya antara punca utama pihak pemerintah gagal mempromosikan program dan dasar-dasarnya, kata pekerja partinya.
Tidak seperti Barisan Nasional (BN), PH enggan menggunakan duit pembayar cukai bagi menampung operasi cybertroopernya, kata mereka.
“Sebuah pasukan media perlukan dana tetapi kerajaan tidak mahu menampungnya. Masa BN dulu memang kita tahu mereka guna duit pembayar cukai tapi bila kita usulkan sendiri pada menteri, mereka takut sebab bajet untuk unit media terlalu besar,” kata pengendali media sosial parti Bersatu, Herman Haassan.
Herman memberitahu The Malaysian Insight bahawa PH juga tidak mempunyai menyelaraskan sebarang unit media selepas kemenangan menawan Putrajaya pada pilihan raya umum lalu.
“Mereka lebih tertumpu untuk jaga Facebook menteri,” katanya.
“Kalau unit media rasmi yang ada pun hanya di Kedah iaitu Mukhriz Mahathir Fan Club,” katanya.
Petugas parti yang lain berkata PH perlu mengaktifkan semula unit medianya bagi menghentikan penurunan popularitinya.
“Pembangkang tidak mempunyai fakta yang banyak atau skandal untuk memburukkan kerajaan tetapi persepsi yang disebarkan sudah mula berkesan.
“Bagi menangani ini, unit media Pakatan sendiri perlu untuk melawan dan menjadi lebih agresif,” kata Pengarah Operasi Media Oren Mohamad Hilmi Ridzwan.
Hilmi berkata keempat-empat parti – Amanah, Bersatu, PKR and DAP – menyedari kepentingan sosial media dalam politik Malaysia.
“Peranan cybertrooper ini terlalu penting, sebab itu saya sebut pada semua penguasaan pengundi bukan pada media sosial tapi pada telefon mereka.
“Media Oren menekankan untuk menguasai telefon rakyat sebab media sosial cuma medium. Trend itu akan berubah tapi berinteraksi melalui telefon sangat penting kepada parti.
“Dalam konteks hari ini informasi yang dapat terlalu terbuka jadi ia perlu dimanfaat oleh parti,” katanya sambil menambah kini Amanah sedang melakukan proses perstrukturan semula cybertroopernya. – TMI