Presiden PKR Anwar Ibrahim memberitahu timbalannya, Mohamed Azmin Ali, agar tidak membuat spekulasi kononnya terdapat tangan tersembunyi dalam parti yang cuba menjatuhkannya sebelum siasatan berhubung isu video seks selesai.
Azmin boleh membuat dakwaan itu sekiranya beliau mempunyai fakta atau bukti yang menyokongnya, kata presiden PKR.
“Ia tersembunyi, itu sebabnya kamu tidak tahu.”
Anwar bagaimanapun mengakui “mesti ada tangan tersembunyi” di sebalik video seks yang kononnya menunjukkan Azmin dengan ketua pemuda Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
“Kalau tidak ia dilakukan secara terbuka,” katanya ketika bercakap dalam sidang media selepas menghadiri rumah terbuka Gawai Raya PKR Sarawak di Kuching malam ini.
Anwar secara tersirat mengatakan bahawa jika tangan tidak tersembunyi, maka video seks akan dilakukan secara terbuka.
Beliau berkata demikian selepas Azmin sebelum ini memberi bayangan bahawa terdapat tangan tersembunyi dalam parti yang menjadi dalang di sebalik penyebaran video berkenaan.
Azmin turut berkata jawatankuasa disiplin parti perlu menyiasat bagaimana pengirim video berkenaan memiliki akses kepada nombor telefon pemimpin cawanan dan pegawai bawahan parti.
Anwar bagaimanapun berkata, parti itu perlu terus bergerak ke hadapan dan biar polis menjalankan siasatan.
“Sekiranya kamu tidak berpuas hati dan mahu parti membuka siasatannya sendiri, saya tidak rasa kita mempunyai kapasiti untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh berbanding apa yang polis boleh lakukan.”
“KPN sendiri memberi jaminan yang ia akan dijalankan secara profesional,” kata presiden PKR.
Anwar turut menolak khabar angin bahawa video berkenaan boleh mengheret PKR ke dalam krisis.
“Tidak akan berlaku. Pemimpin kita matang.
“Kita telah melaluinya banyak kali sebelum ini,” katanya merujuk kepada video dan tuduhan liwat yang menyebabkan beliau dipenjarakan sebelum ini.
Kes liwat pertamanya pada 1998 menyebabkan sabitan dan hukuman penjara sembilan tahun.
Hukuman itu dibatalkan pada tahun 2004 tetapi beliau didakwa lagi dalam kes liwat yang berasingan pada tahun 2008.
Beliau sekali lagi disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun sebelum diberi pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Presiden PKR itu juga lewat dua jam untuk hadir ke majlis rumah terbuka berkenaan dan tiba pada pukul 7 malam sedangkan beliau dijadualkan hadir pada pukul 5 petang.
“Kapal terbang saya tiada minyak,” kata Anwar kepada ahli parti yang menunggu untuk menyambut ketibaannya.
Ini bukan lawak, katanya, apabila semua hadirin ketawa.
Menurutnya, ia mengambil masa satu jam setengah untuk mengisi semula minyak pesawat. – TMI