Muhamad Zamri Vinoth Kalimuthu mendakwa tidak mengetahui isu sebenar yang menyebabkan kehadirannya dalam muktamar tidak disenangi perwakilan PAS Perlis.
Zamri mememberitahu The Malaysian Insight, kehadirannya untuk memberikan ucapan dalam muktamar itu adalah atas jemputan pihak penganjur.
“Secara rasional, mereka kena faham saya pergi muktamar bukan saya terhegeh-hegeh hendak pergi. Saya dijemput. Saya bukan ahli PAS tapi orang jemput, saya datang.
“Orang minta saya berucap, saya berucaplah.Saya tak patut dipersalahkan, kalau ada isu antara mereka saya tak tahu tapi saya tidak ada isu dengan mereka,” katanya, ketika dihubungi.
Ucapannya di Muktamar Pemuda PAS semalam tidak disenangi wakil sayap tersebut dari Perlis yang mengugut akan memulaukan persidangan sekiranya kehadiran Zamri tidak diperjelaskan.
Ia susulan ucapan Zamri yang juga anak didik penceramah kontroversi Zakir Naik itu selama kira-kira 10 minit sewaktu persidangan muktamar sayap tersebut.
Zamri juga mendakwa kehadirannya di muktamar itu tidak memberi sebarang keuntungan kepadanya dan tidak patut dijadikan sasaran kemarahan.
“Ini keputusan PAS pusat hendak panggil siapa pun berucap. Kalau nak marah, saya bukan ahli politik. Saya berucap bukan untuk dapat undi, saya tak bertanding pun dalam muktamar.
“Saya tidak ada kelebihan politik, saya bukan ahli politik, saya hargai jemputan mereka. Niat saya, adalah kita sebagai Muslim kena bersatu,” katanya.
Zamri turut menafikan dirinya terlibat dalam sebarang pertikaian dengan PAS termasuk dalam kes membakar kereta rasmi Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.
Tegas Zamri, pihaknya tidak pernah membuat apa-apa kenyataan berhubung isu itu, apatah lagi mengaitkan PAS dan Unit Amal parti berkenaan.
Tegasnya, beliau tiada kaitan dengan anggota Unit Amal PAS Perlis yang ditahan polis berhubung kejadian 22 Mac lalu.
“Apa benda ini? Dia kena reman, apa salah saya. Saya tak pernah buat laporan ke atas mereka, saya tak pernah tulis apa pun pasal mereka, saya pun tak faham.
“Kalau kaitan (bakar) kereta, kereta itu kerajaan negeri diberikan kepada Asri apa kena mengena dengan saya?” soalnya yang mengakui ada hubungan rapat dengan Asri.
Zamri mendakwa beliau juga seorang mangsa dalam kes itu kerana turut ditahan namun menegaskan anggota Unit Amal yang ditahan tiada kaitan dengannya.
“Saya pun duduk dalam (lokap) empat hari, tapi dia kena faham dia duduk empat hari (lokap) bukan sebab saya, bukan saya buat laporan. Isunya bukan dia dengan saya.
“Kereta itu pun bukan saya punya. Saya tiba-tiba jadi mangsa,” tambahnya.
Pemuda PAS Perlis hari ini menjelaskan, mereka membantah kehadiran Zamri ke muktamar kerana penceraham tersebut menuduh mereka menganjurkan pemberontakan terhadap Raja Perlis.
Setiausaha Pemuda PAS Perlis, Mohamad Azreen Jumri dalam ucapannya berkata Zamri juga menuduh PAS Perlis sebagai dalam di sebalik pemecatan para imam masjid negeri itu.
“Kami difitnah (oleh) beliau (yang mendakwa PAS) dalang anjurkan pemberontak kepada Raja Perlis.
“Ini yang menjadikan kami terkilan dengan ucapan yang diberikan oleh Zamri Vinoth,” kata ,” Mohamad Azreen di Muktamar Pemuda PAS ke-60 di Gambang, Pahang, hari ini.
Pengarah Jabatan Amal Perlis Amirul Jufri Mat Saman semalam mengugut untuk keluar dewan sekiranya penganjur muktamar tidak menjelaskan jemputan Zamri. – TMI