Perbicaraan penyelewengan dana SRC International dan 1MDB akan menentukan sama ada lebih banyak pelabur asing akan menanam modal dalam sistem kewangan Malaysia yang semakin telus atau sebaliknya.
Penganalisis ekonomi, Jameson Tan berkata, tanpa keputusan yang tepat dalam kedua-dua kes itu terhadap bekas PM Najib Razak maka pelabur asing akan berfikir banyak kali untuk menanam modal.
“Terlalu banyak bukti menunjukkan wang rakyat telah disonglap dan diberi kepada kroni-kroni BN. Terkini jumlahnya sebanyak RM270 juta dan senarai nama-nama pihak yang menerima wang tersebut yang telah didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
“Dengan bukti yang menggunung, saya harap si pesalahlaku akan dijatuhkan hukuman penjara. Semua pelabur asing dan masyarakat antarabangsa sedang memberi perhatian kepada SRC International dan 1MDB.
“Keputusan mahkamah akan mempengaruhi samada pelabur asing akan terus melabur modal di sini ataupun pergi ke negara-negara lain di rantau ASEAN,” katanya kepada Suara Pakatan Daily
Selain itu, menurut beliau, kerajaan perlu menumpukan untuk mengurangkan ketegangan antara kaum kerana hal itu berpotensi merisaukan palabur asing sekiranya Umno dan Pas berjaya menghasut rakyat mencetuskan rusuhan kaum.
“Malaysia sudah lama dibelenggu dengan masalah perkauman. Oleh sebab itu, kemajuan negara masih terbantut jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Singapura.
“Kalau semua rakyat Malaysia memberi tumpuan kepada Perlembagaan Persekutuan di mana hak semua bangsa tetap dijaga, Malaysia akan menjadi satu negara yang terunggul di dunia. Sudah lebih 60 tahun, rakyat Malaysia telah membazirkan banyak masa mempersoalkan isu hubungan kaum
“Sebenarnya orang Melayu tidak patut takut kehilangan hak-hak mereka. Jawatan Perdana Menteri dan banyak jawatan tertinggi di Malaysia serta pekerja-pekerja sektor kerajaan semuanya diwakili orang Melayu. Ini bererti Malaysia akan sentiasa kekal dipimpin oleh pemimpin Melayu,” tambah Jameson.