KENAPA GUNAKAN AQIDAH UNTUK KELUAR PARTI
Kini isu aqidah sedang dimainkan dengan penuh licik oleh sesetengah pihak yang mahu berpaling tadah dari perjuangan PAS. Kononnya jika aqidah dapat disatukan maka Umno dan PAS boleh disatukan juga. Apa yang Umno telah lakukan sejak 50 lebih berkuasa dalam negara ini berkaitan dengan isu menjaga dan memelihara aqidah umat Islam.
Berapa banyak jumlah tempat maksiat berbanding dengan pembangunan masjid yang Umno berjaya laksanakan dalam usaha mereka hendak mengekang gejala murtad yang serius saban tahun berlaku ?
Apa gunanya aqidah umat Islam yang ada dalam Umno disatukan dengan aqidah umat Islam di dalam PAS jika bukan untuk memuaskan nafsu beberapa pemimpin Umno yang terlalu sayangkan kuasa yang semakin menghakis mereka kini dan juga nafsu beberapa pemimpin PAS sendiri yang beriya-iya hendak menjadi MB atau Menteri jika PAS dan Umno boleh bersatu atas nama aqidah.
Terlalu jelas hasrat pemimpin tertentu dari PAS yang berjaya menghimpunkan 1 juta penyokong dalam satu projek bersama NGO berkenaan dengan isu menyelamatkan aqidah umat Islam yang kini dipercayai sedang dimurtadkan oleh gerakan agama kristian dalam negara ini.
UMno yang mempunyai kuasa dalam gabungan BN sepatutnya terlebih dahulu membenar dan menyokong usaha kerajaan PAS Kelantan sejak 1990 untuk melaksanakan undang-undang Islam yang sebenarnya bagi membendung semua permasalahan umat termasuk jenayah, isu murtad, ekonomi, sosial remaja dan penyalahgunaan dadah yang kian menghimpit umat Islam itu sendiri.
Kembali kepada hukum Allah telah dirintis oleh PAS melalui kejayaan mentadbir dan memerintah negeri Kelantan merupakan satu usaha yang tidak dilakukan oleh UMno melalui kuasa di parlimen atau menggunakan seluruh agensi kerajaan dalam hal agama Islam seperti pejabat Mufti, JAKIM dan lain-lain agensi yang berkuasa dalam hal ehwal Islam.
Sebenarnya kepada semua dan seluruh pemimpin yang memperjuangkan Islam yang sebenarnya dan bukan bertopengkan Islam atau berpura-pura bercakap mengenai Islam atau mengumpan mana-mana individu yang cenderung dengan kerja dakwah, janganlah terpedaya dengan tipu muslihat Umno dan pencacainya yang sedang nazak hilang kuasa sehingga sanggup menjadi munafik serta fasik demi mahu mempertahankan kuasa bagi menjamin kemewahan dan kesenangan dunia agar kekal dalam tangan mereka lalu memperalatkan apa jua isu termasuk yang terbaru ialah isu AQIDAH.
Keadaan sekarang SUDAH TERANG LAGI BERSULUH kepada pemimpin tertentu dalam PAS terutama dalam kerajaan Selangor yang mahu ‘berhijrah’ sempena menyambut Hijrah tak berapa hari lagi.
Usahlah jadikan nama aqidah demi menyelamatkan Umno yang sememangnya dibuktikan mengkhianati bukan sahaja umat Melayu bahkan umat Islam itu sendiri dan merompak harta kekayaan negara untuk kesenangan puak dan kroni serta keluarga mereka.
Lihat bagaimana laopran audit negara mendedahkan penuh senarai penyelewengan dan salah urus tadbir ekonomi negara angkara Umno bersama parti kompenan mereka dalam BN.
Sebaliknya kejayaan Pakatan Rakyat mengurustadbir dengan baik di beberapa negeri menunjukkan jika amanah rakyat dapat dijalankan dengan penuh tanggungjawab maka rakyat akan sentiasa boleh bersatu padu dan seterusnya aqidah umat Islam boleh dijaga dengan lebih baik dan sempurna jika ada keikhlasan dan kejujuran dalam isu kebebasan beragama dalam negara kita ini.
Isu sekarang ialah siapa yang mendorong rakyat yang beragama Islam dalam negara untuk berubah cara hidupnya dari mengamalkan cara hidup Islam kepada cara hidup yang membawa dosa dan maksiat sehingga menyebabkan jati diri umat Islam kini telah berubah samasekali baik dalam amalan berpakaiannya atau urusan ekonominya dan juga makanannya yang dicemari oleh unsur haram yang akhirnya membawa kepada kerosakkan akhlak umat Islam dan keruntuhan moral yang amat serius dalam kehidupan remaja umat Islam sekarang ini.