Via WhatsApps
ISLAM melarang keras umatnya membuat tuduhan tanpa bukti yang sahih kepada saudara seagama dengan tuduhan kafir harbi, kufur munafik atau sesat.
Perbuatan tersebut termasuk dosa besar jika tidak ada bukti yang jelas dan sahih. Jika orang yang dituduh itu memang kafir maka kafir itu akan jatuh kepada orang yang dituduh. Tetapi jika orang yang dituduh tidak kafir maka kekafiran itu akan jatuh kepada orang yang menuduh.
Nabi SAW mengajar kita berhati-hati dalam menuduh orang lain sebagai kafir atau pun musuh Allah sewenang-wenangnya. Sabda Nabi SAW.
“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”.
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Bahkan dalam hadis, Nabi SAW melarang melaknat seorang sahabat yang meminum arak kerana walau pun pada zahirnya dia berdosa dan minum arak adalah perbuatan yang dilaknat. Namun setiap orang mempunyai keadaan yang berbeza. Kejahatan dosa peribadi seseorang tidak semestinya dia sama sekali tidak mempunyai nilai baik yang lain.
Mungkin dia lemah pada satu nilai, tapi ada kebaikan lain yang tidak melayakkan dia dilaknat.
Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW mengajar kita hakikat ini:
“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah SAW ketawa. Juga pernah Nabi SAW menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat.
Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”.
Lantas Nabi SAW pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah, apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”.
Suasana masyarakat kita hari ini yang suka menuduh kafir harbi, liberal, munafik, sesat, fasik, dilaknat atau melabel dengan gelaran yang buruk bukan mereka yang jahil agama tetapi mereka ini ada ilmu agama, asatizah, ulama.
Kenapa perbuatan buruk dan keji ini boleh berlaku?
Puncanya kerana ego dan sombong dengan pendapat sendiri, hasad dengki, iri hati, dendam kesumat dan sifat takbur.
Suka menggunakan agama untuk menghalalkan cara dan fatwa sendiri tanpa merujuk kepada ulama muktabar. Sanggup memutuskan silaturahim semata-mata untuk mendapat sokongan murahan daripada rakyat.
Jika penyakit takfiri atau suka mengkafirkan saudara Muslim tidak di sekat dan di dakwa di mahkamah syariah maka gejala ini akan memecahbelahkan masyarakat Islam dan ramai umat Islam dikelirukan. Pihak berkuasa seharusnya peka dan cepat mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 supaya perbalahan yang merosakkan negara tidak berlaku.
Oleh itu tinggalkanlah perbuatan keji dan mungkar dan mari sama-sama kita hayati al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai sumber rujukan yang utama.