Kembalinya Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno adalah “hadiah” kepada Pakatan Harapan kerana ia akan melengahkan kebangkitan semula Umno dan rancangan kerjasama dengan PAS, kata penganalisis politik.
Mereka menyifatkan keputusan Zahid membuat kemunculan semula politik itu sebagai petanda kelemahan parti mencari arah walaupun sudah enam bulan beliau bercuti.
Zahid mula bercuti menjalankan tugas presiden enam bulan lepas kerana “mahu menghentikan kemelut melanda Umno yang ketika ia makin hilang wakil rakyatnya”.
Pakar sains politik Dr Mazlan Ali berkata kepulangan Zahid akan mewujudkan rasa tidak selesa dalam PAS dan sesetengah ahli Umno kerana ahli Parlimen Bagan Datok itu kini bergelut dengan 87 pertuduhan korupsi di mahkamah.
Jumlah pertuduhan itu lebih banyak berbanding bekas presiden Najib Razak, yang kerana skandal terkait dengannya jadi punca kejatuhan bersejarah Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas.
Jika Zahid terus menerajui Umno, peluang untuk menarik semula sokongan rakyat bertambah tipis, kerana PRU14 membuktikan majoriti rakyat Malaysia dan sejumlah besar orang Melayu menolak pemimpin yang terpalit korupsi.
“Rakyat sebenarnya menolak pemimpin yang dipersepsikan dengan pelbagai isu dan lebih-lebih lagi kes sedang dibicarakan dan belum selesai.
“Rakyat mahu parti politik dipimpin oleh pemimpin politik yang bersih daripada pelbagai salah laku.
“Persepsi politik terhadap pemimpin yang didakwa terlibat dengan isu integriti dan salah guna kuasa dan rasuah sangatlah besar hingga boleh menyebabkan sokongan terhadap parti merudum dan parti tersebut boleh kalah pilihan raya,” kata seorang lagi pakar politik Dr Awang Azman Awang Pawi dari Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.
Profesor James Chin dari University of Tasmania (UTAS) pula berkata kepulangan Zahid adalah “bencana politik untuk Umno”.
“Setiap kali dia hadir di majlis, rakyat akan mengaitkan korupsi dengannya, Umno dan Najib,” kata Chin yang mengetuai Asia Institute UTAS.
Keputusan Zahid untuk bercuti dibuat dua hari selepas wakil rakyat Umno Hamzah Zainuddin memberi amaran parti boleh hilang lebih ramai wakil rakyat jika Zahid tidak berundur.
Pada 18 Disember, Zahid mengumumkan beliau akan bercuti dan menyerahkan tugas presiden kepada Timbalannya Mohamad Hasan.
Dalam tempoh enam bulan sahaja, Umno menang tiga pilihan raya kecil, membentuk kerjasama politik dengan musuh lama PAS.
Kedua-dua parti terbesar Melayu Islam itu dijangka mengumumkan secara rasmi kerjasama itu pada perhimpunan mega yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Mohamad mampu membersihkan semula imej Umno malah dilihat kembali meraih semula sokongan kepada parti itu, kata Awang Azman.
Di saat Umno nampaknya mula kembali bertapak, Zahid berdepan 40 lagi pertuduhan korupsi kerana memberi kontrak projek atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri.
Mazlan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pula berkata dibandingkan dengan Najib, pertuduhan jenayah ke atas Zahid lebih berat dan jelas.
Jika PAS meneruskan proses untuk bekerjasama dengan Umno, parti Islam itu akan dituduh melindungi orang yang berdepan pertuduhan jenayah yang serius, tambahnya lagi.
Awang Azman pula berkata kepulangan Zahid akan meletakkan PAS dalam dilema.
“Kerana (mereka) tak boleh campur tangan dalam hal dalaman Umno meskipun PAS terpaksa mempertahan hubungan dengan Umno demi survival politik PAS.”
Imej Pakatan selaku pakatan politik yang lebih bersih dan baik akan bertambah hebat dengan kembalinya Zahid mengetuai Umno.
“PH sekarang boleh kata Umno cuba mengangkat kleptokrasi,” kata Mazlan.
Jadi sekiranya kesan buruk akan melanda Umno dan PAS, apakah sebab keputusan mengejut Zahid untuk kembali?
Mazlan dan Chin mengandaikan sebabnya mudah- Zahid mahu jadi relevan kembali.
“Umno sudah dapat momentum balik jadi dia takut dilupakan. Jadi dia nak pulihkan saki baki politiknya.”
Walaupun beliau adalah presiden Umno, kedudukan Zahid juga lemah berbanding Mohamad, kata Chin.
Mohamad kini diangkat kerana berjaya menerajui Umno dalam krisis sementara Najib pula dikenali ramai kerana program “bossku”nya.
“Dia tiada pilihan, jika dia bercuti, dia akan jadi tak relevan. Sebagai presiden, dia boleh pengerusikan mesyuarat dan berperanan dalam pakatan PAS-Umno.
“Dibandingkan kehadiran Najib dalam media sosial dan kempen akar umbi bossku, Zahid tidak ada apa-apa.
“Dia hanya mahu kekal relevan.” – TMI