Presiden PKR Anwar Ibrahim akan bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, bagi berbincang dan mendengar penjelasan lebih terperinci berhubung projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) yang ingin dibangunkan kerajaan negeri.
Anwar berkata beliau akan bertemu dengan pemimpin tertinggi Pulau Pinang itu dalam masa terdekat, bagi membantu mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut yang sedang dihadapi golongan nelayan tradisional, di selatan Pulau Pinang itu.
“Saya akan bertanya dengan pihak kerajaan negeri, adakah boleh kita menjamin nasib dan kepentingan nelayan?
“Saya tahu ini adalah sukar, sebab saya tidak pernah tahu dalam mana-mana projek tambak laut secara besar-besaran di seluruh dunia, yang mana nasib nelayan terjamin,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan penduduk dan nelayan di unit Sungai Batu, Permatang Damar Laut di Pulau Pinang hari ini.
Dalam pertemuan kira-kira dua jam itu, Anwar berkata beliau terpanggil untuk hadir dan mendengar sendiri kegelisahan yang dihadapi kelompok nelayan di situ.
“Saya datang bukan nak halang (projek itu), tetapi saya datang untuk mendengar penjelasaan semua pihak, termasuk syarikat pemaju dan saya telah membaca memorandum yang telah diserahkan persatuan dan Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Saya perlu berlaku adil dan mendengar dari semua pihak”.
“Kita kena dengar suara kedua-duanya. Apakah keluhan nelayan dan apakah pula cadangan kerajaan negeri mahu lakukan untuk nelayan.
“Walau apa pun projek, jangan korbankan kepentingan rakyat,” katanya.
Pada Khamis, sekumpulan nelayan dari Pulau Pinang dan Perak membuat demonstrasi bantahan di parlimen, memohon agar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menimbang semula cadangan projek PSR itu, kerana ia tidak mendatangkan faedah.
Selain itu, golongan nelayan itu turut mengemukakan memorandum yang mempunyai tiga tuntutan iaitu mewujudkan Majlis Perancangan Fizikal Negara untuk membatalkan projek PSR, mengenakan moratorium aktiviti perlombongan pasir laut di luar pantai Perak, dan melakukan kajian komprehensif oleh pakar bebas dan perancang profesional bagi projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
Terdahulu Anwar berkata beliau telah memaklumkan kepada perdana menteri semalam untuk bertemu dengan nelayan dan mendengar keresahan mereka berhubung projek tambak laut itu, serta mahu membantu mencari jalan penyelesaian.
“Saya ikuti perkembangan tambak laut ini. Saya tahu ini projek kerajaan negeri yang akan merujuk kepada kerajaan Persekutuan.
“Maka saya ambil keputusan berjumpa Tun dan maklumkan kepadanya untuk bertemu dengan nelayan. Bagi saya ini projek mega dan juga isu nasional,” katanya.
Kerajaan Negeri bercadang menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut.
Projek PSR dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai projek PTMP Pulau Pinang. Difahamkan jangka masa projek tebus guna adalah selama 15 tahun dan keseluruhan projek dijangka siap antara 30 hingga 50 tahun – mkini